
EON, AGYTEK BANGUN PLATFORM DIGITAL SCRM TEMPATAN
Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat kepada DRB-HICOM Berhad, menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan Agytek Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi digital di bawah Kumpulan Altel.
Kerjasama ini adalah dalam usaha membangunkan platform Pengurusan Hubungan Pelanggan Jualan (SCRM) berasaskan awan khusus untuk industri automotif Malaysia.
Usaha sama ini bertujuan menghasilkan sistem SCRM yang disesuaikan untuk keperluan pasaran tempatan dan serantau, dengan memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan lebih interaktif dan efisien.
Majlis menandatangani MoC telah melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial dan Ketua Pegawai Kewangan Agytek Digital, David Di Xiong.

Menurut Akkbar, kolaborasi ini selari dengan usaha EON untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan sambil membina keupayaan digital yang sejajar dengan kehendak pasaran Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami membangunkan penyelesaian yang mampu diintegrasi merentasi semua perniagaan kami, sama ada runcit, korporat mahupun pajakan,” katanya.
Walaupun struktur asas platform ini dibangunkan mengikut piawaian global, penyesuaiannya akan dilaksanakan secara mendalam oleh pasukan Agytek dan EON untuk memenuhi aliran kerja, pengurusan data pelanggan dan pengalaman pengguna di Malaysia.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan platform ini sebagai penanda aras terbaik di rantau ini dalam transformasi digital peruncitan automotif,” tambah Akkbar.
David Di Xiong pula menegaskan bahawa teknologi hanya memberi makna apabila ia menyelesaikan isu sebenar dalam industri.
Inisiatif ini juga sejajar dengan pelan digitalisasi menyeluruh DRB-HICOM, yang mahu menjadikan landskap automotif negara lebih berdaya saing, bersedia menghadapi masa depan dan berfokuskan pelanggan melalui penerapan teknologi inovatif.
- BACA: PROTON TINGKATKAN PEGANGAN PASARAN WALAUPUN TIV MENURUN SEBANYAK 21% PADA BULAN JUN
- BACA: INDONESIA MAHU KERETA NASIONAL ELEKTRIK, PAKAR CADANG TIRU FORMULA VIETNAM
- BACA: LAND ROVER DEFENDER OCTA BLACK 2026 DIDEDAHKAN – JANA 626HP, ANGGARAN HARGA RM800K
- BACA: TERKINI: SUZUKI GSX-8T, GSX-8TT MASUK MALAYSIA TAHUN DEPAN







