
GEELY PERKENAL GEELY EX5 BOLEH ‘CRAB WALK’, GERAK SEMUA ARAH
Geely terus mencuri perhatian dalam dunia kenderaan elektrik apabila memperkenalkan teknologi unit pacuan baharu yang membolehkan stereng empat roda berputar sehingga 90 darjah secara bebas, dipamerkan menerusi prototaip crossover elektrik Geely EX5 di China.
Teknologi yang dibangunkan sepenuhnya oleh Geely itu menggunakan motor elektrik yang dipasang terus pada setiap roda, sekali gus membolehkan setiap roda dikawal secara individu.
Dengan konfigurasi ini, kenderaan berkenaan mampu berpusing di tempat yang sama, bergerak secara sisi (crab driving), serta memasuki dan keluar dari ruang parkir yang sangat sempit dengan lebih mudah.
Menurut Geely, unit pacuan baharu ini merupakan teras kepada pembangunan teknologi kenderaan generasi akan datang.
Dalam demonstrasi yang dikongsi pada 12 Disember lalu, kenderaan tersebut turut dikawal menggunakan sarung tangan khas, yang pada masa hadapan dijangka digantikan dengan peranti pintar seperti telefon atau jam pintar bagi membolehkan pemilik menggerakkan kereta ke posisi diinginkan dari luar kenderaan.
Keupayaan stereng bebas pada keempat-empat roda ini juga membolehkan roda hadapan dan belakang bergerak dalam arah berbeza, sekali gus meningkatkan kestabilan kenderaan di permukaan licin serta ketika berdepan angin kencang, menurut penjelasan pihak Geely.
Bagaimanapun, teknologi ini masih berada pada peringkat prototaip dan tiada pengesahan bila ia akan digunakan pada model produksi besar-besaran.
Selain itu, terdapat beberapa kekangan dikenal pasti, termasuk ruang lengkuk roda belakang yang lebih besar bagi memuatkan putaran roda 90 darjah, sekaligus berpotensi mengurangkan ruang kabin.
Walaupun masih di peringkat awal, inovasi ini jelas menunjukkan hala tuju Geely dalam meneroka reka bentuk dan keupayaan mobiliti EV yang lebih radikal dan futuristik.



