
HANYA SEHARI! AI BANTU PEREKA HASILKAN KONSEP EV LEXUS
Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mula mengubah landskap industri reka bentuk automotif, dengan proses yang dahulunya memakan masa berbulan kini boleh dipercepatkan dalam tempoh jauh lebih singkat.
Perkembangan ini membuka ruang baharu kepada pereka untuk meneroka idea dengan lebih pantas dan fleksibel.
Bagi menguji sejauh mana kemampuan teknologi tersebut, seorang pereka profesional menetapkan cabaran peribadi, menghasilkan sebuah kereta konsep lengkap dalam tempoh hanya satu hari.
Bermula dengan beberapa lakaran tangan ringkas, keseluruhan rekaan itu akhirnya diterjemahkan kepada visual resolusi tinggi yang kelihatan seperti foto sebenar, semuanya dengan bantuan AI.

Individu di sebalik eksperimen ini ialah Antonin Cohen, pereka automotif berasal dari Perancis yang kini berkhidmat bersama Ford Europe di Cologne, Jerman.
Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Kia dan terlibat dalam pembangunan reka bentuk Kia Sportage generasi kelima sebelum versi naik taraf.
Menurut Cohen, beliau pada awalnya bersikap skeptikal terhadap penggunaan AI dalam dunia reka bentuk. Namun, selepas mencuba sendiri keupayaan teknologi tersebut, pandangannya berubah apabila mendapati AI mampu membantu meneroka idea dengan lebih cepat tanpa menjejaskan kreativiti asal pereka.
Dengan bantuan AI, Cohen dapat menghasilkan visual kenderaan dari pelbagai sudut, selain mencuba pelbagai kombinasi warna, bahan dan persekitaran secara pantas.


Kaedah ini memudahkan penyampaian idea awal tanpa perlu melalui proses rendering manual yang rumit dan memakan masa.
Projek peribadi yang dibangunkan pada waktu lapangnya itu menampilkan sebuah kenderaan elektrik futuristik dengan lencana Lexus. Ia bermula dengan dua lakaran pandangan suku hadapan dan belakang sebuah hatchback tiga pintu yang rendah dan aerodinamik.
Daripada situ, AI menghasilkan set visual lengkap berdasarkan arahan kreatif yang diberikan.
Rekaan tersebut menampilkan bahagian hadapan berhidung pendek, cermin hadapan yang condong seperti supercar, serta lampu LED nipis yang diletakkan rendah, memberikan imej agresif dan sporty.

Profil sisi pula diserlahkan dengan lengkungan roda yang menonjol dan kemasan aerodinamik.
Bahagian belakang direka dengan kanopi kaca, lampu belakang LED nipis serta diffuser gentian karbon yang agresif. Cohen menyifatkan wajah hadapan konsep itu sebagai “berimpak kuat” dengan elemen rekaan yang sedikit bersifat robotik.
Tiang C pula dibayangkan seperti ‘lengan’ yang menyatukan keseluruhan bentuk badan, manakala bahagian belakang direka tegak dan kukuh untuk memberi kesan praktikal.
Menariknya, hasil visual yang dijana AI itu begitu realistik sehingga sukar dibezakan dengan gambar sebenar. Pantulan cahaya, tekstur bahan serta komposisi pencahayaan kelihatan seolah-olah dirakam oleh jurugambar profesional.

Cohen turut menghasilkan visual di sebalik tabir yang memaparkan watak manusia digital sedang membuat persiapan untuk sesi fotografi imaginasi.
Antara warna yang paling menonjol ialah tona oren gelap yang digandingkan dengan bumbung, tiang dan roda berwarna hitam.
Beberapa imej turut mendedahkan rekaan dalaman, termasuk papan pemuka digital menyeluruh dan konsol tengah yang condong ke arah pemandu.
Satu versi menampilkan kemasan cerah berinspirasikan kulit putih minimalis, manakala versi lain menggunakan gabungan upholsteri biru dan kemasan kayu untuk rasa lebih bertekstur.
Walaupun kenderaan Lexus ini hanya wujud dalam bentuk digital, proses pembangunannya menunjukkan bagaimana AI boleh berfungsi sebagai alat sokongan kepada pereka, bukannya pengganti.
Digunakan secara bijak, teknologi ini membolehkan idea diterjemahkan dengan lebih pantas dan terperinci, sekali gus memudahkan proses pembentangan dan penambahbaikan konsep awal.
Menurut Cohen, AI membolehkan pereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek kreatif tanpa terlalu terikat dengan kerja teknikal rendering.
Beliau turut berpesan kepada pereka muda bahawa nilai sesebuah lakaran bukan terletak pada kesempurnaan teknikal, sebaliknya pada idea dan garis awal yang membentuk identiti rekaan tersebut.








