Artikel Pilihan

CHINA LANCAR 4 MODEL BAHARU SETIAP HARI

Industri automotif China kini bergerak pada kadar yang sukar ditandingi oleh mana-mana pasaran lain di dunia. Jika sebelum ini negara itu dikenali sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik (EV), kini China turut mencipta fenomena baharu apabila melancarkan ratusan model kenderaan dalam tempoh yang sangat singkat.

Situasi ini menunjukkan betapa sengitnya persaingan dalam pasaran automotif terbesar dunia itu, sehingga pengeluar kereta China terpaksa mempercepatkan pembangunan produk bagi memastikan mereka terus kekal relevan di mata pengguna dalam tempoh 18 bulan sahaja.

Menurut laporan, sebanyak kira-kira 650 model baharu dan model yang dikemas kini telah diperkenalkan di China sepanjang enam bulan pertama tahun 2026. Angka tersebut merangkumi model serba baharu serta versi facelift yang menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk, teknologi dan prestasi.

Ini bermakna hampir 4 model diperkenalkan setiap hari, satu kadar yang jauh mengatasi mana-mana pasaran automotif utama di dunia. Daripada jumlah tersebut, sekitar 30 model serba baharu dilancarkan setiap bulan.

Sebagai perbandingan, laporan Car Wars yang diterbitkan oleh Bank of America menganggarkan pasaran Amerika Syarikat hanya akan menerima kira-kira 159 model baharu sepanjang tempoh lima tahun, iaitu dari 2026 hingga 2030. Jurang ini memperlihatkan perbezaan ketara antara pendekatan industri automotif China dengan pengeluar tradisional di Amerika Syarikat.

Kadar pelancaran model yang begitu pantas didorong oleh persaingan sengit dalam kalangan pengeluar tempatan. Selain perang harga yang masih berterusan, syarikat-syarikat automotif China turut berlumba-lumba menawarkan teknologi terkini bagi menarik perhatian pengguna.

Antara aspek yang menjadi fokus termasuk pembangunan bateri yang lebih cekap, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), kokpit pintar dengan integrasi kecerdasan buatan (AI), keupayaan pengecasan yang lebih pantas serta reka bentuk yang sentiasa diperbaharui mengikut trend semasa.

Fenomena ini turut memberi tekanan kepada pengeluar besar seperti BYD, yang mengakui kadar persaingan dalam industri automotif China berada pada tahap yang sangat tinggi. Pengasasnya, Wang Chuanfu, menyifatkan persaingan dalam pasaran domestik sebagai semakin ekstrem, memaksa setiap syarikat terus berinovasi dan memperkenalkan produk baharu dalam tempoh yang lebih singkat.

Bagi pengguna pula perkembangan ini membawa beberapa kelebihan. Mereka mempunyai lebih banyak pilihan model dengan teknologi terkini, manakala persaingan yang sengit turut membantu mengekalkan harga pada tahap kompetitif. Pengguna juga dapat menikmati inovasi baharu dalam tempoh yang lebih cepat berbanding pasaran lain.

Namun begitu, situasi ini turut mempunyai kesan sampingan. Model yang baru dilancarkan boleh menjadi ‘buruk’ dalam masa yang singkat apabila digantikan dengan versi yang lebih baharu. Keadaan ini berpotensi menjejaskan nilai jualan semula kenderaan, selain meningkatkan tekanan kepada pengeluar yang perlu menanggung kos penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran yang semakin tinggi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam persaingan.

Secara keseluruhannya, ledakan pelancaran model baharu ini menggambarkan bagaimana industri automotif China kini berkembang pada kadar yang luar biasa pantas. Bukan sahaja negara itu mendahului dunia dalam pembangunan kenderaan elektrik, malah ia turut mengubah landskap industri automotif global dengan menetapkan standard baharu dari segi kelajuan pembangunan produk.

Persoalannya kini ialah sama ada kadar inovasi yang begitu pantas ini mampu dikekalkan untuk jangka panjang, atau akhirnya akan memaksa industri mencari keseimbangan antara inovasi, keuntungan dan kelestarian perniagaan.

Google ads
Back to top button