
TENGAH MABUK SUV, GWM LANCAR HAVAL H10
Great Wall Motor (GWM) terus mengembangkan barisan modelnya di China dengan memperkenalkan Haval H10, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) bersaiz besar yang kini menjadi model paling premium dalam keluarga Haval.
H10 bukan sekadar menggantikan Haval H9, malah diposisikan lebih tinggi sebagai model flagship baharu jenama itu. Dari segi rekaan, Haval H10 tampil dengan imej lasak dengan bahagian depan menampilkan lampu utama dua tingkat, badan berkotak, perumah roda yang besar serta tayar simpanan yang dipasang pada pintu belakang.
Walaupun tampil dengan penampilan seperti SUV off-road tradisional, H10 sebenarnya menggunakan binaan unibody dan bukannya casis ladder frame seperti Haval H9. Haval H10 juga merupakan model pertama Haval yang dibangunkan menggunakan GWM One Platform, platform baharu yang turut menjadi asas kepada Wey V9X.

Pendekatan ini dijangka memberikan keselesaan pemanduan atas jalan raya dan keupayaan meredah laluan yang lebih mencabar. Dari segi dimensi, Haval H10 dengan versi lima tempat duduk mempunyai ukuran 5,138 mm panjang, 2,050 mm lebar, 1,970 mm tinggi serta jarak roda 3,000 mm.
GWM turut menawarkan versi enam tempat duduk yang lebih panjang dengan ukuran keseluruhan 5,299 mm, menjadikannya lebih besar daripada Toyota Land Cruiser 300.
Kuasa pula datang daripada sistem Hi4 Plug-in Hybrid yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo bersama transmisi 4-kelajuan Dedicated Hybrid Transmission (DHT). Sistem ini dipadankan dengan bateri berkapasiti 42.8 kWh, membolehkan Haval H10 dipandu sejauh 180 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya mengikut kitaran CLTC.

Walaupun GWM masih belum mendedahkan angka kuasa keseluruhan sistem, laporan media China menyatakan syarikat itu turut merancang untuk memperkenalkan varian yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo, sekali gus menawarkan prestasi yang lebih tinggi kepada pembeli yang mahukan SUV lebih berkuasa.
Untuk bahagian kabin, Haval H10 mengetengahkan rekaan moden dan minimalis. Konsol tengah didominasi oleh skrin infotainmen bersaiz besar yang dipadankan dengan paparan instrumen digital, namun GWM masih mengekalkan beberapa butang fizikal bagi memudahkan kawalan penyaman udara dan mod pemanduan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrin sentuh.

Buat masa ini, GWM masih belum mengumumkan harga rasmi, output kuasa keseluruhan serta tarikh jualan Haval H10 di China. Namun dengan gabungan dimensi yang besar, rekaan lasak, teknologi plug-in hybrid serta jarak pemanduan elektrik sehingga 180 km, Haval H10 dilihat berpotensi menjadi antara pesaing utama dalam segmen SUV PHEV premium yang semakin berkembang di pasaran China.







