
GWM MALAYSIA RAI PENGELUARAN AWAL WEY G9 – TEMPAHAN KINI DIBUKA, HARGA BAWAH RM300K
GWM Malaysia mencatat satu lagi detik bersejarah apabila unit pertama WEY G9, MPV New Energy mewah dari China, berjaya dikeluarkan dari barisan pemasangan tempatan di fasiliti EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka.
Model ini muncul sebagai MPV New Energy premium pertama dari China yang dipasang di Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai pusat penting bagi strategi serantau GWM.
Model berkenaan dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada awal 2026, menandakan langkah besar GWM dalam usaha pendomestikan dan pembinaan ekosistem automotif tempatan yang lebih kukuh.

Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian bermakna bagi jenama itu.
Menurut beliau, kelahiran unit CKD pertama ini mencerminkan keyakinan GWM terhadap Malaysia sebagai hab pembuatan ASEAN serta kejayaan kerjasama strategik dengan EPMB.
Reka Bentuk Lebih Besar Daripada Alphard
Dari segi dimensi, WEY G9 hadir dengan ukuran 5,280mm panjang, 1,960mm lebar, 1,900mm tinggi dan jarak roda 3,085mm, sedikit lebih besar daripada Toyota Alphard dan sebaris dengan pesaing baharu dari China seperti Zeekr 009 serta Denza D9.
Bahagian luaran menampilkan imej premium dengan gril besar berjalur menegak, lampu utama LED moden serta lampu belakang LED penuh lebar.

Akses keluar masuk dipermudah melalui pintu gelangsar kuasa di kedua-dua sisi, selain pintu belakang elektrik. Pembeli ditawarkan rim 18-inci dengan pilihan warna badan kelabu, hitam dan putih.
MPV tujuh tempat duduk ini menampilkan konfigurasi 2-2-3, dengan barisan kedua menggunakan kerusi kapten yang dilengkapi urut 10 titik, ventilasi, pelarasan kuasa serta mod “zero gravity”. Tempat duduk dibalut kulit Nappa hitam, dengan pilihan warna coklat turut tersedia.
Antara ciri menarik lain termasuk:
- Meja lipat di belakang kerusi hadapan
- Pencahayaan ambien dan kemasan ala kayu
- Peti sejuk 12.5 liter yang boleh dicapai dari depan dan belakang
- Skrin hiburan belakang bersama kawalan pendingin hawa khas
Barisan ketiga pula disokong rel kuasa bagi kemudahan pelarasan, dengan ruang kaki yang sesuai untuk penumpang setinggi sehingga 1.8 meter. Port USB-A dan USB-C disediakan di kedua-dua sisi bersama dua corong pendingin udara di bumbung.

WEY G9 digerakkan enjin 1.5L turbo empat silinder (150hp, 240Nm) dipadankan dua motor elektrik — satu di transmisi hibrid empat kelajuan dan satu di gandar belakang, menghasilkan gabungan 442hp dan 642Nm.
Dengan angka tersebut, pecutan 0-100 km/j mengambil hanya 5.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.
GWM turut menyatakan jarak pemanduan keseluruhan mampu mencapai sehingga 1,000km (NEDC), dengan jarak elektrik penuh sekitar 170km (NEDC).
Tempahan Dibuka, Harga Sasaran Bawah RM300,000
GWM Malaysia mengesahkan tempahan WEY G9 kini dibuka di semua pengedar bertauliah, dengan anggaran harga bawah RM300,000.
Dengan siapnya unit CKD pertama ini, GWM kini memberi tumpuan kepada persiapan pelancaran rasmi awal 2026.
Program pemasangan tempatan bersama EPMB akan diperkukuh melalui usaha pendomestikan komponen, pembangunan tenaga kerja mahir serta peningkatan teknologi di kilang Melaka.




