Buletin

EPMB LANCAR FASA 2 KILANG PEMBUATAN KERETA DI MELAKA

EP Manufacturing Berhad (EPMB) terus mengorak langkah besar dalam industri automotif negara dengan perasmian Fasa 2 kemudahan pemasangannya di Melaka.

Peluasan ini meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat kepada sekitar 30,000 kenderaan setahun, berbanding hanya 6,000 unit pada masa ini.

Sejak Fasa 1 mula dibangunkan pada suku keempat 2023, EPMB telah mengeluarkan lebih 6,000 unit GWM H6 HEV untuk pasaran Malaysia.

Syarikat itu turut menamatkan pengeluaran percubaan bagi BAIC X55 dan BJ40 pada November 2025, dengan produksi penuh dijadualkan bermula Januari 2026. Model MG pula akan memulakan fasa rintis pada Februari 2026.

Perluasan kapasiti ini disokong oleh rangkaian kilang pembuatan komponen EPMB yang terletak di Kedah, Perak, Selangor dan Melaka, memastikan proses pemasangan berjalan lebih efisien dan bersepadu.

Melihat ke hadapan, Fasa 3 yang dijangka siap menjelang akhir suku ketiga 2026 akan memperkenalkan kemudahan pengecatan badan kenderaan secara dalaman.

Fasa baharu itu akan dibina di tapak seluas lapan ekar bersebelahan Fasa 2.

Majlis pelancaran Fasa 2 disempurnakan pada Khamis dengan kehadiran YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, bersama barisan exco negeri, wakil-wakil agensi kerajaan, MITI, MIDA, JPJ, Kastam Diraja Malaysia, MARii, institusi kewangan serta rakan industri dan OEM.

EPMB menjangkakan peluasan operasinya di Melaka akan membuka sehingga 1,000 peluang pekerjaan baharu, di samping merangsang pembangunan teknologi EEV, EV, automasi dan pembuatan termaju.

Kehadiran lebih banyak pemain automotif tempatan dan antarabangsa ke negeri itu juga dijangka meningkat.

Pada majlis sama, EPMB turut meraikan kemunculan unit pertama MPV GWM Wey G9 PHEV yang berjaya dikeluarkan dari barisan pemasangannya.

“Wey G9 membuka lembaran baharu bagi kami dalam segmen MPV premium dan membuktikan kemampuan EPMB untuk memasang kenderaan yang lebih besar dan kompleks,” kata Pengerusi Eksekutif, Hamidon.

Pada Oktober 2025, EPMB diumumkan sebagai pemasang kontrak bagi model MG terpilih oleh SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat SAIC Motor Corporation Ltd, sebuah gergasi automotif milik kerajaan China yang tersenarai dalam Fortune Global 500. Portfolio syarikat itu merangkumi MG, Maxus, Roewe, IM dan Baojun.

Sebelum itu, pada tahun 2024, EPMB turut dilantik sebagai pemasang kontrak untuk Great Wall Motor dan BAIC, masing-masing bagi tempoh lapan dan 10 tahun, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam rantaian nilai automotif serantau.

Google ads
Back to top button