Artikel Pilihan

TOYOTA GR GT: APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI

Tiada hujan tiada ribut, Toyota mengejutkan dunia dengan pengenalan sebuah kereta sport yang luar biasa selepas “menghantar pulang” GR Supra bersara dari kilang mereka. Walaupun kod enjin, perincian spesifikasi dan lain lain maklumat belum lengkap, Akio Toyoda seperti tidak sabar untuk memperkenalkan hero baru Toyota ini iaitu Toyota GR GT.

Toyota GR GT bukan sekadar kereta hibrid biasa. Dari luar, ia mungkin kelihatan seperti supercar biasa, tapi di bawah bonet terdapat gabungan teknologi canggih yang direka untuk pecutan, pengendalian, dan pengalaman pemanduan tahap tinggi. Mari kita selami apa yang membuat Toyota GR GT ini unik.

Enjin & Sistem Kuasa

Toyota GR GT dikuasakan dengan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar. Dengan saiz diameter silinder dan lejang (87.5 × 83.1mm), enjin ini menggunakan strok pendek untuk menurunkan ketinggian enjin dan membantu pusat graviti rendah, menyumbang kepada kestabilan sewaktu memecut atau memotong selekoh.

Susunan atau rekaan “Hot‑V” atau menempatkan sistem turbo di dalam ruang tengah V enjin, manakala sistem pelinciran dry‑sump dan oil pan nipis memastikan minyak enjin tetap cukup walaupun kereta dipandu ekstrem.

Toyota menambah 1 motor elektrik tunggal yang diintegrasikan terus dengan transaxle belakang, menjadikan sistem hibrid ini bukan untuk menjimatkan petrol. Sebaliknya, ia membantu penghantaran tork semasa pecutan dan mengurangkan lag sewaktu penukaran gear.

Secara keseluruhan sistem hibrid (enjin + motor) dijangka menghasilkan lebih daripada 650 PS dan 850 Nm tork, dengan pacuan roda belakang (RWD) dan taburan berat 45:55 antara depan dan belakang untuk keseimbangan maksimum.

Mungkin ada yang bertanya kenapa berat 45:55 dan bukannya 50:50. Rekaan ini dihasilkan supaya agihan berat berlaku secara dinamik, sebagai contoh semasa membrek sebelum memasuki selekoh weigt transfer akan beralih dari roda belakang ke depan menjadikan berat adalah 50:50 sewaktu memasuki selekoh

Chasis & Bahan Binaan

GR GT menggunakan rekaan cesi aluminium space frame, kaedah pertama kali yang digunakan oleh Toyota untuk membina kereta dengan casis aluminium penuh. Panel badan pula adalah gabungan aluminium, komposit, dan karbon fibre (CFRP), menjadikan kereta ringan tanpa mengorbankan kekuatan. Toyota menyasarkan berat kereta kosong sekitar 1,750 kg.

Berbeza dengan kesilapan rekaan Lexus LFA dahulu yang banyak menggunakan komposit carbon yang mahal, rekaan sebegini adalah jauh lebih murah untuk dihasilkan

Enjin V8 pula akan dipasang secara “front‑mid”, sedikit ke belakang dari axle hadapan menjadikan berat berada di tengah kenderaan. Susunan ini memberi pengagihan berat optimum dan pusat graviti rendah, sangat penting untuk handling tajam dan pecutan stabil.

Transmisi

Transmisi GR GT adalah 8 kelajuan automatik yang dibangunkan khas. Transaxle belakang menggabungkan gearbox, motor elektrik, dan differential dalam satu unit. Kuasa dihantar dari enjin ke belakang melalui torque tube CFRP, sementara differential limited-slip membantu roda belakang cengkam jalan dengan konsisten.

Toyota GR GT menggunakan sistem wet‑start clutch berbanding torque converter biasa, menjadikan transmisi lebih responsif untuk prestasi yang lebih baik

Suspensi, Brek & Prestasi

Untuk suspensi, Toyota memilih rekaan double wishbone di depan dan belakang dengan coil spring, memberi fokus kepada keseimbangan pengendalian dan keselesaan minimum tanpa kompromi. Apa yang pasti sistem penyerap hentak adalah menggunakan rekaan pasif, bukan semi aktif dimana pemandu boleh memilih kekerasan

Brek pula menggunakan bahan prestasi tinggi dengan cakera dihasilkan daripada komposit seramik karbon pada semua roda, menawarkan ketahanan haba yang tinggi dan memberikan kuasa hentian maksimum.

Tayar prestasi tinggi juga menjadi ciri penting, menggunakan Michelin Pilot Sport Cup pada roda depan dengan saiz 265/35 ZR20 dan belakang 325/30 ZR20. Dimensi kereta prototaip ialah 4,820 mm panjang, lebar 2,000 mm, tinggi 1,195 mm, dan jarak antara roda ialah 2,725 mm. Toyota menyasarkan halaju tertinggi melebihi 320 km/j.

Konsep & Titik Fokus Rekabentuk

Toyota GR GT direka dengan tiga fokus utama iaitu pusat graviti rendah, struktur ringan & rigid, serta aerodinamik yang dipertingkat. Susunan enjin di depan, pacuan roda belakang RWD, bersama sama dengan sistem hibrid, kedudukan tangki bahan api, dan komponen berat lain, menjadikan pengagihan berat kereta optimum.

Sistem hibrid digunakan untuk membantu tork dan kelancaran transmisi, seiring dengan DNA Toyota Gazoo Racing yang menekankan prestasi. Jentera ini dibangun bersama dengan varian perlumbaan yang diberi nama GR GT3, dengan perbezaan utama pada sistem aerodinamik khusus untuk perlumbaan

Rekabentuk dalaman direka dengan gaya moden Lexus serta sedikit rekaan klasik menerusi kluster meter digital dan rupa yang meneruskan evolusi yang dimulakan oleh LFA lebih 10 tahun lalu. Pandangan ke belakang terhalang, jadi terdapat cermin pandang belakang berasaskan kamera untuk membantu anda melihat di belakang.

Di Amerika Syarikat, Toyota GR GT akan mula dijual di beberapa bilik pameran Lexus tertentu pada akhir tahun depan. Di Jepun, model ini akan dijual melalui saluran jualan khusus.

Google ads
Back to top button