
TOYOTA UJI PROTOTAIP MRS BARU. TAZABARRRR
Satu video yang dimuat naik oleh pengguna X, @You_SuiKoyoAZ, memaparkan sebuah prototaip sports misteri Toyota sedang menjalani ujian di Fuji Speedway, Jepun.
Rekaan kereta tersebut jelas berbeza daripada GR86 dan GR Supra, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa ia mungkin model sports serba baharu.
Daripada imej yang dikongsikan, prototaip ini tampil dengan badan yang lebar, kit aerodinamik agresif serta spoiler belakang bersaiz besar.
Kedudukan kabin yang agak ke hadapan turut memberi bayangan bahawa enjin mungkin dipasang di bahagian tengah (mid-engine), walaupun perkara itu masih belum dapat disahkan.

Sejak beberapa tahun lalu, khabar angin mengenai kebangkitan semula Toyota MR2 semakin hangat diperkatakan. Ada juga laporan yang mendakwa model ini mungkin menggunakan semula nama Celica, namun susun atur enjin pertengahan lebih sinonim dengan MR2 berbanding Celica yang secara tradisinya menggunakan enjin hadapan.
Dari segi trenkuasa, model ini dikatakan berkemungkinan menggunakan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo G16E-GTS yang kini digunakan pada GR Yaris dan GR Corolla.
Namun, terdapat juga spekulasi bahawa Toyota sedang membangunkan enjin turbo 2.0 liter empat silinder serba baharu, yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa jauh lebih tinggi dan berpotensi menjadi pilihan untuk model sports generasi akan datang.
Setakat ini Toyota masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai identiti prototaip tersebut. Namun, jika benar ia merupakan MR2 moden, peminat kereta sports Toyota pastinya mempunyai sesuatu yang menarik untuk dinantikan.








