
TIADA LAGI ORA GOOD CAT DI THAILAND, GWM PERKENAL ORA 5 – BATERI 58.3kWh, JARAK GERAK 580KM
Pengeluar automotif dari China, Great Wall Motor (GWM), menamatkan penjualan model kenderaan elektrik ORA Good Cat di Thailand selepas model tersebut mencatat lebih 20,000 unit jualan sejak diperkenalkan pada tahun 2021.
Menurut syarikat itu, model berkenaan akan digantikan dengan SUV elektrik baharu, ORA 5 yang dijadualkan membuat kemunculan rasmi pada acara Bangkok International Motor Show yang berlangsung bulan ini.
Sepanjang berada di pasaran, ORA Good Cat pernah mencatat sejarah sebagai kenderaan elektrik paling laris di Thailand pada tahun 2022.
Model itu juga menjadi EV pertama yang dipasang secara tempatan di negara tersebut selain menjadi EV pertama yang dieksport dari Thailand ke pasaran global.

Bagi mengukuhkan kedudukan jenamanya di negara itu, GWM turut merancang memperkenalkan sekurang-kurangnya lima model baharu sepanjang tahun ini.
Thailand juga akan menjadi negara kedua di dunia selepas China yang menerima model ORA 5.
Platform baharu GWM
SUV elektrik ORA 5 dibangunkan menggunakan platform global terkini GWM yang dikenali sebagai GWM ONE Platform.
Platform ini direka untuk menyokong pelbagai sistem rangkaian kuasa termasuk hibrid (HEV), plug-in hibrid (PHEV), elektrik sepenuhnya (BEV), sel bahan api hidrogen (FCEV) serta enjin pembakaran dalaman (ICE).
Model itu turut dilengkapi sistem operasi kenderaan pintar Coffee OS 3.0 yang biasanya digunakan pada model premium GWM. Sistem ini menawarkan respons pantas serta integrasi fungsi pemanduan, hiburan dan keselesaan yang lebih lancar.
Reka bentuk dan dimensi

Dari segi luaran, ORA 5 menampilkan reka bentuk moden dengan lampu hadapan bulat bersaiz besar serta gril hadapan tertutup yang sinonim dengan model EV.
Ia turut dilengkapi bampar hadapan baharu dengan saluran udara terbina, rel bumbung serta rim aloi 18-inci bersama tayar bersaiz 225/60 R18.
Port pengecasan ditempatkan pada bahagian fender hadapan kanan manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu brek yang diintegrasi pada cermin belakang bersama spoiler bumbung.
Dimensi SUV ini merangkumi panjang 4,471mm, lebar sehingga 1,883mm, tinggi 1,641mm serta jarak roda 2,720mm.
Kabin lebih moden
Di bahagian dalam, ORA 5 dilengkapi kluster instrumen digital 10.25-inci bersama skrin infotainmen terapung bersaiz 15.6-inci beresolusi 2.5K. Ia turut menggunakan cip kokpit 4 nm daripada MediaTek.
Ciri lain termasuk stereng dua jejari berbentuk D dengan kawalan skrol, pemilih gear elektronik pada lajur stereng, pengecas telefon tanpa wayar, pencahayaan ambien 64 warna serta bumbung kaca panoramik seluas 1.65 meter persegi.
Tempat duduk belakang juga boleh dilipat bagi menambah ruang kargo, selain dilengkapi saluran penghawa dingin serta ruang simpanan tambahan.
Motor elektrik dan jarak pemanduan
ORA 5 digerakkan motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa sekitar 150kW (201hp). Ia menggunakan bateri jenis LFP yang dibekalkan oleh SVOLT Energy Technology dengan dua pilihan kapasiti:
- 45.3kWh – jarak pemanduan sehingga 480km (CLTC)
- 58.3kWh – jarak pemanduan sehingga 580km (CLTC)
Dengan pelancaran model baharu ini, GWM dilihat mahu memperkukuh kehadiran kenderaan elektriknya di pasaran Thailand yang semakin berkembang pesat.

