Buletin

HAFIZH SYAHRIN HAMPIR PASTI KE MOTOGP

Beberapa hari ini desas desus mengenai berita Hafizh Syahrin akan naik ‘pangkat’ dari Moto 2 ke MotoGP berlegar-legar dalam portal-portal permotoran. Pasukan Monster Yamaha Tech 3 dikhabarkan akan memilih Hafizh akan menggantikan Jonas Folger dalam saingan MotoGP 2018.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi dari mana-mana pihak, akaun Instagram Hafizh seakan sudah memastikan berita ini apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada motosikal yang akan ditungganginya untuk pasukan SIC.

JIka terpilih Hafizh akan bergandingan dengan rakan sepasukan Johann Zarco dan akan menjadi penunggang Asia Tenggara pertama yang akan bersaing dalam kategori premier itu.

Pasukan yang berpusat di Perancis itu terpaksa mengenepikan Jonas Folger yang didapati menghidap penyakit “Sindrom Gilbert”, yang berkaitan dengan masalah hati sehingga menyaksikan dia terpaksa menarik diri untuk musim 2018.

Sebelum Hafizh, pasukan ini menggunakan khidmat Yonny Hernandez sebagai penunggang ujian, namun Hernandez tidak mungkin dapat beraksi bersama Tech 3 dalam saingan MotoGP memandangkan mempunyai kontrak bersama Pedercini Kawasaki dalam saingan Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK).

Hafizh sebelum ini akan bersaing dalam Moto 2 untuk musim 2018 dengan pasukan SIC Racing. Pengesahan berita ini juga bertambah kuat apabila SIC Racing sudah mengesahkan akan mendapat khidmat Zulfahmi Khairudin bagi menggantikan tempat Hafizh.

Bagi musim 2017 Hafizh menduduki kedudukan podium di GP San Morino dan GP Jepun dan berada dalam kedudukan 10 pelumba terbaik.

Tahniah dan semoga maju jaya!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button