
RASMI: YAMAHA YZF-R9 LANCAR DI MALAYSIA – RM68,000
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan YZF-R9 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM68,000.
Atas kertas, Yamaha R9 dikuasakan platform tiga silinder 890cc CP3 yang diambil dari MT-09 namun dipadankan dengan tetapan ECU berbeza dengan ‘gearing’ lebih tinggi; 16/45 berbanding 16/43 pada MT-09. Kuasa disalurkan masih sama dengan 118hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm.

Aspek paling mencuri tumpuan pada R9 adalah penggunaan kerangka serba baharu. Menurut Yamaha, kerangka Deltabox aluminium yang diguna pakai dibangunkan khas untuk R9 dengan talaan khas untuk mencapai prestasi optimum.
Lebih menarik, kerangka Deltabox ini hanya 9.7kg lantas menjadikannya sebagai kerangka paling ringan dalam keluarga Supersport Yamaha. Atas kertas, R9 hanyalah 195kg.
Pakej suspensi pula merangkumi fork KYB SDF (Separate-Damping Fork) 43mm boleh laras (damping di sebelah kiri dan rebound di sebelah kanan serta preload). Bahagian belakang juga menempatkan monoshock KYB boleh laras.

Antara kelengkapan yang mengagumkan terdapat pada R9 terarah kepada pakej elektronik. Ini kerana Yamaha telah melengkapkan R9 dengan segala teknologi yang ada antaranya:
- 3 mod menunggang; Sport, Street dan Rain + 2 mod Kustom dan 4 mod Track
- 6-axis IMU menawarkan traction control, slide control, brake control
- 4 mod kuasa
- lift control
- launch control
Sebagai bonus, Yamaha R9 turut hadir dengan fungsi ‘cruise control’ sebagai kemudahan ketika tunggangan jarak jauh serta fungsi ‘quickshifter’ generasi ketiga.
Yamaha R9 juga dilengkapi dengan brek Brembo Stylema yang dipadankan bersama cakera brek berkembar 320mm.
GALERI: YAMAHA YZF-R9




















