Buletin

HONDA BUKA PRODUKSI NO. 2 DI MELAKA

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) mengukuhkan komitmennya di Malaysia apabila membuka kilang produksi No. 2 di Pegoh, Alor Gajah, Melaka, 11 tahun selepas pembukaan produksi No.1 pada Januari 2003. 

Honda Line 2 (3)

Pembinaan produksi No. 2 yang berkeluasan 49,190 meter persegi itu hanya mengambil masa kurang 12 bulan. Ia dijangka mampu menggandakan produksi sedia ada iaitu sebanyak 50,000 unit kepada 100,000 kenderaan unit setahun dan daripada 200 unit kepada 400 unit sehari.

Majlis penuh bersejarah itu diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Sri Mustapa Mohamed; wakil kerajaan negeri Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co. Ltd., Hiroshi Kobayashi.

Honda Line 2 (4)

“Honda akan terus membangunkan aspek pengeluaran tempatan di Malaysia dengan mengambil langkah lebih strategik terhadap industri ini. Dengan membangunkan kemahiran pekerja tempatan dan mengimplementasikan teknologi-teknologi pengilangan termaju pada pasaran yang penting dan menarik ini, kami positif bahawa Malaysia akan membantu mencapai pertumbuhan jenama Honda pada jangka masa panjang,” kata Kobayashi.

Menerusi pembukaan produksi No. 2, Honda akan memasang lebih banyak kenderaan untuk pasaran Malaysia terutama model kecil dan segmen hibrid yang menyaksikan pertumbuhan kukuh sejak beberapa tahun lalu.  Kini, Honda Malaysia memasang model City, Civic, CR-V, Accord dan kedua-dua varian Jazz Petrol dan Hibrid di kilang mereka di Pegoh.

Honda Line 2 (6)

“Kami telah menetapkan pelan jangka sederhana untuk membuat pelaburan tambahan berjumlah RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun bermula 2012. Jumlah pelaburan produksi No.2 sebanyak RM382 juta meliputi kos bangunan, peralatan serta kemudahan.

“Pelaburan ini penting dalam mengukuhkan operasi kami demi mencapai sasaran jangka sederhana iaitu mencatat jualan 100,000 unit kenderaan menjelang tahun 2016,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Honda Line 2 (12)

Honda telah mempertingkatkan operasi keseluruhan di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan membina gudang alat ganti yang baru, kemudahan trek ujian, Pusat Pra-Penghantaran (PDI) serta kemudahan logistik yang baru-baru ini ditukar menggunakan kereta api agar lebih efisien.

Honda telah memperkenalkan beberapa teknologi baharu pada produksi No. 2 dalam usaha mencapai standard lebih tinggi. Antaranya, mesin kimpalan pintar dan kemudahan mengecat tercanggih melibatkan Spray Robots and Under Body Coating.

Honda Line 2 (1)

Sementara Multi Driving Tester for Vehicle Quality pula telah dipertingkat bagi memastikan ia ‘mesra’ hibrid untuk memeriksa sistem IMA dan keadaan bateri kenderaan hibrid.

Pengembangan ini membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Honda Malaysia dijangka menggaji 700 orang pekerja baharu yang bakal menerima latihan kemahiran untuk mengendalikan mesin-mesin canggih di kilang terbabit.

Honda Line 2 (9)

“Dalam usaha menawarkan harga lebih mampu milik kepada pengguna di Malaysia, Honda Malaysia meletakkan sasaran untuk meningkatkan komponen alat ganti tempatan daripada 30-40% sebelum ini kepada lebih 70% pada masa depan. Ia mampu dicapai menerusi kerja keras semua kakitangan kami untuk  mengimplementasikan teknologi-teknologi termaju dan penambahan pembekal komponen,” tambah Ueno.

Konsep ‘Kilang Hijau’ telah dilaksanakan secara aktif. Peralatan kecekapan tinggi telah dipasang dan proses dipendekkan untuk penggunaan kuasa yang lebih efisien.

Honda Line 2 (10)

Pelbagai inisiatif hijau telah dilakukan seperti kitar dan guna semula tenaga serta kecekapan air dilaksanakan di bangunan-bangunan dan peralatan. Usaha-usaha ini menyokong sasaran global Honda untuk mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2020.

Honda Line 2 (13)

Produksi No.1 dan No.2 berupaya menghasilkan pelbagai model melalui penukaran produksi yang cekap. Dalam menyokong aspek peningkatan kualiti dan produksi kenderaan, Honda Malaysia akan terus berusaha untuk menyediakan khidmat pelanggan yang terbaik melalui penambahan rangkaian pengedarannya. Honda Malaysia mensasarkan untuk mempunyai 90 pengedar menjelang akhir tahun 2015.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button