Pandu Uji

TOYOTA VIOS – TERBAIK SETAKAT INI

Selepas berjaya mengekalkan kedudukan sedan bukan nasional paling laris di pasaran tempatan selama , Toyota Vios tampil dengan lebih yakin menerusi model generasi ketiganya. 

SONY DSC

Ia bukanlah keyakinan yang tidak berasas. Sebaliknya, optimism itu didasari oleh pelbagai bentuk penambahbaikan yang membuatkan Vios semakin ingin dimiliki ramai orang.

Contoh terbaik adalah perubahan fizikal yang sangat signifikan. Tiada lagi imej dugong seperti yang sering dilontarkan sebelum ini. Vios kini tampil dengan rekaan luaran yang jauh lebih sporty dengan garis-garis tubuh yang tajam. Sekali gus membuktikan bahawa pereka bentuk Toyota masih ada upaya untuk menghasilkan rekaan yang kena dengan selera pengguna semasa dan tidak hanya syok sendiri.

Vios test drive (1)

Bahagian hadapan nyata menyerlah dengan rekaan lampu utama yang nipis. Bampar pula kelihatan lebar dan rendah. Jika dilihat dari sisi, perkadaran Vios jelas lebih seimbang. Lampu belakang yang direka semula, lampu kabus berwarna merah dan rim aloi bersaiz 15 inci melengkapkan lagi transformasi itu.

Anda juga pasti berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh pasukan jurutera Toyota ke atas ruang kabin Vios. Mendengar maklum balas daripada pelanggannya, lokasi meter kembali diletakkan di bahagian belakang stereng. Paparan Multi Maklumat (MID) pula memaparkan maklumat pemanduan seperti penggunaan purata bahan api, kelajuan purata dan banyak lagi bagi kemudahan pemandu.

SONY DSC

Unit pandu uji ini adalah varian 1.5G, maka ia hadir dengan beberapa ciri pilihan yang saya cukup hargai seperti butang penghidup enjin dan sistem audio DVD-AVN, lengkap bersama kamera undur.

Cuma, saya agak kecewa dengan ketiadaan garis sudut pada paparan kamera undur. Ia seolah-olah hanya membantu melihat halangan yang ada di bahagian belakang kereta, tetapi kurang membantu untuk membolehkan pemandu memakir dengan tepat.

SONY DSC

Vios tidak kedekut dengan ruang penyimpanan barang. Pemandu dan penumpang boleh meletak banyak barang dan bekas minuman di ruang yang disediakan. Perlu tahu, tidak ada tempat meletak minuman di konsol tengah. Sebaliknya, kawasan itu diganti dengan ruang yang membolehkan anda meletakkan ipad. Jadi, pemandu perlu meletak minuman di ruang hadapan corong pendingin hawa sebelah kanan.

Walaupun menggunakan warna beige, kualiti material kulit pada tempat duduk dan sebahagian besar kemasannya dilihat boleh bertahan dalam tempoh yang lama. Jurutera Toyota nyata bijak mengubah kemasan plastik keras itu nampak mahal dan bergaya. Caranya, dengan menghasilkan rekaan seperti jahitan benang yang halus dan kemas. Sekali pandang macam papan pemuka dan panel pintu itu dibalut dengan kemasan kulit. Pandai!

SONY DSC

Ya. Vios masih menggunakan enjin dan transmisi lama yang ada pada model generasi kedua. Dalam hal ini, Toyota mengambil pendekatan kenapa perlu menukar sesuatu yang sudah terbukti bagus dan menjimatkan minyak?

Enjin 1NZ-FE bersesaran 1.5 liter itu mampu menjana kuasa sehingga 109PS dan tork maksimum 141Nm. Memadai untuk menggerakkan sedan ini tanpa rasa malas. Biarpun hanya empat kelajuan, penukaran gear dapat dibuat dengan lancar tanpa berlaku senggukan yang ketara.

SONY DSC

Memandangkan enjin dan transmisi tidak ditukar, penjimatan minyak dibuat menerusi pengurangan berat dan rekaan badan yang lebih aerodinamik.

Ketika memandu dalam kelajuan tinggi, bunyi bising angin dan gegaran nyata minimum. Inilah hasil penggunaan cermin utama jenis akustik dan material kedap bunyi tambahan. Justeru, pemanduan adalah lebih senyap dan selesa.

SONY DSC

Berbicara  tentang aspek keselamatan pula, Vios hadir dengan dua beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA. Agak menyedihkan apabila ia tidak dilengkapi traction control, satu sistem yang sudah menjadi ciri standard pada kebanyakan kereta sekarang.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Toyota mengambil pendekatan aktif dalam menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi dengan memasang traction control serta jumlah beg udara yang lebih banyak. Jangan jadikan kos sebagai alasan kerana Toyota bukanlah pengeluar kenderaan yang kecil.

SONY DSC

Vios 1.5G ditawarkan pada harga RM88,500 (di atas jalan termasuk insurans). Ia juga hadir dengan jaminan selama tiga tahun dan perbatuan sejauh 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu). Pendek kata, Vios baharu adalah lebih baik dalam hampir semua segi berbanding model yang digantinya.

[hr]GALERI 

Vios test drive (3)SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button