
HONDA CITY AKAN DATANG DENGAN ENJIN TURBO 1.0 LITER
Honda City merupakan salah satu kereta sedan terlaris di Malaysia dalam segmen B. Model terkini 2014 sudah memasuki usia pengeluaran lima tahun dan model gantiannya akan dilancarkan bila-bila masa sahaja memandangkan “kembar” hatchback nya sudahpun diperkenalkan di Tokyo Motorshow pada bulan lepas.
Besar kemungkinannya City generasi ke tujuh ini akan dilancarkan di Thailand. Menurut sumber media di sana, model ini akan diperkenalkan pada 25 November nanti pada acara Thailand Motor Expo 2019 dan apa yang lebih menarik lagi, ia turut hadir dengan pilihan enjin 1.0 liter turbo.
Menurut laporan Headlightmag, bagi memenuhi piawai kerajaan dalam rancangan Eco Car Phase II plan, enjin 1.0L VTEC Turbo ini dipilih. Ia mampu menghasilkan sekitar 122ps dan 200Nm tork. Kuasa disalurkan kepada kotak gear CVT.
Mengikut peraturan Eco Car Phase 11 yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa Thailand, di mana semua kenderaan eco mestilah mempunyai kriteria berikut:
- Mematuhi piawaian emisi Euro5
- Emisi CO2 tidak lebih 100g/km
- Penggunaan bahan api kurang 4.3l/100km atau 23.25km bagi setiap liter minyak
- Sistem ABS, EBD, VSA dan Bantuan Brek sebagai ciri standard
Satu lagi pilihan enjin ialah 1.5 liter aspirasi biasa yang dipadankan dengan teknologi hibrid mild i-MMD baharu.
Dari segi keselamatan, Honda City bakal mendapat pakej Honda Sensing yang meliputi Active cruise system (ACC), amaran membrek (CMBS), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dan Lane Keeping Assist (LKAS).
Berdasarkan kepada beberapa keping spyshot sebelum ini, City berkemungkinan besar memiliki karekteristik gayaan terkini Honda. Antaranya ialah lampu LED lebih besar, bar krom yang tebal di hadapan seperti Civic dan CR-V.