,
Buletin

WRC 2019 – RALI AUSTRALIA DIBATAL. APA CERITA?

Dalam artikel Brader Karrager sebelum ini ada menyatakan pusingan terakhir dalam kalendar WRC 2019 sepatutnya melabuhkan tirai di Australia pada hujung minggu ini. Namun menurut berita terkini yang dimaklumkan perlumbaan terakhir tersebut terpaksa dibatalkan disebabkan berlakunya kebakaran hutan yang dasyat di negeri New South Wales (NSW).

Kebakaran hutan yang berlaku bukan calang – calang sebenarnya. Keadaan cuaca kemarau yang melanda memburukkan lagi keadaan hingga mengakibatkan beberapa korban nyawa serta berpuluh lagi mangsa yang mengalami kecederaan. Rumah yang hangus terbakar turut menyebabkan ramai mangsa kehilangan tempat tinggal. Malah, darurat turut diisytiharkan selamat tujuh hari di kawasan yang terbabit.

Dan atas faktor keselamatan baik kepada peserta rali mahupun orang ramai, FIA telah mengambil langkah untuk membatalkan perlumbaan yang sepatutnya berlangsung di Coffs Harbour, NSW. Sebetulnya ini bukanlah pengakhiran yang kita semua hendakkan. Walaupun juara dunia WRC 2019 telah ditemui namun persaingan untuk kategori Pembuat masih lagi sengit diantara Toyota Gazoo selaku juara bertahan cuba untuk mengejar pasukan Hyundai Shell Mobis yang berkelebihan cuma 18 mata sahaja. Dengan pembatalan ini, pasukan Hyundai Shell Mobis yang diketuai Andrea Adamo akan meraih kejuaran buat pertama kalinya bagi jenama yang berasal dari Korea itu. Dan khabar berita ini pasti membuatkan para pemilik Hyundai boleh main angkat – angkat kening dengan jenama terkemuka yang lain.

Apatah lagi ditambah dengan kedatangan Ott Tanak ke pasukan yang berpangkalan di Jerman, pasti akan membuatkan pasukan Hyundai ini jauh lebih kuat bagi musim saingan WRC 2020 nanti. Digandingkan pula dengan pemandu Belgium, Thierry Neuville pasti podium 1 – 2 tampak mudah. Untuk mempertahankan kejuaraan kategori Pembuat rasanya tidaklah sukar andai pasukan seperti Toyota gagal mendapatkan pengganti yang jauh lebih handal berbanding Ott Tanak.

Dan dengan pembatalan ini juga menyaksikan penyandang juara Sebastian Ogier akur untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Thierry Neuville. Jadilah kan untuk Hyundai masih mampu memberikan saingan sengit bagi kategori pemandu.

Pembatalan perlumbaan ini juga pasti menyedihkan buat peminat rali Australia memandangkan tahun hadapan mereka tidak lagi berada dalam kalendar WRC 2020 selaku penutup tirai. Namun apakan daya, kuasa Tuhan jelas mengatasi segalanya. Menurut Pengerusi Acara, Andrew Papadopoulos pembatalan tersebut terpaksa diambil memandangkan mereka harus bertanggungjawab terhadap keselamatan kira – kira 1000 peserta meliputi pelumba dan juga krew rasmi. Majlis Makan Malam Gala sempena tamatnya kempen WRC 2019 yang sepatutnya berlangsung di Australian National Maritime Museum turut dibatalkan.

BACA : WRC 2019 : OTT TANAK MUNCUL JUARA BAHARU WRC

BACA : OTT TANAK PINDAH KEM, DARI TOYOTA KE HYUNDAI UNTUK WRC 2020

Tags
Google ads
Back to top button