
PANDU UJI: HONDA BR-V
Saya tidak pasti bagaimana Honda menamakan produk mereka. Pada asalnya model Honda banyak menggunakan kata nama yang berasal dari terma muzik. Namun untuk model crossover dengan 7 tempat duduk ini Honda menamakannya sebagai Bold Runabout Vehicle atau singkatannya BR-V.
Kelebihan menggunakan kata nama BR-V ialah nama ini boleh digunakan di mana-mana pasaran tanpa sebarang masalah. Senang sikit kerja jabatan pemasaran. Sebut saja nama BR-V dan orang akan kenal ia sebagai sebuah crossover tujuh tempat duduk yang mampu milik daripada Honda
Spesifikasi
Model | Honda BR-V 1.5 V |
Harga | RM87,701.00 |
Enjin | 1500cc i-VTEC |
Transmisi | CVT Earth Dream |
Suspensi Depan | Topang McPherson |
Suspensi Belakang | Torsion Beam |
Berat | 1240kg |
Ruang Kargo | 223 Liter |
Saiz Tayar | 195/60 16″ |
Ciri Keselamatan | 2 Beg udara Kawalan Kestabilan Elektronik ESC Brek ABS Sistem Brek BA dan EBD 5 Bintang ASEAN NCAP |
Rekabentuk

BR-V memiliki panjang 4456mm, 1,735mm lebar dan 1,666mm tinggi merupakan hasil tangan Honda R&D Asia Pacific Co. Ltd yang berpusat di Thailand bagi memberikan tentangan kepada Toyota untuk sebuah kereta mampu milik 7 tempat duduk dengan pusat graviti yang tinggi. Kata kunci di sini ialah mampu milik ye tuan puan.
Berbeza dengan Avanza dan juga Aruz yang menggunakan cesi kerangka tetangga (ladder frame), Honda menggunakan cesi monocoque iaitu cesi lantai dan kerangka atas bersatu antara satu sama lain dalam satu unit. Sebagai seorang sifu di dalam industri, Honda menghasilkan cesi BR-V dengan menggunakan semua komponen kereta yang ada dalam global part bin mereka.

Kerangka utama iaitu panel lantai BR-V diambil dari cesi Honda Brio iaitu sebuah kereta kompak ECO khas untuk pasaran Thailand. Platform lantai ini dipanjangkan sedikit berbanding platform asal bagi menjadikan jarak antara roda BR-V 2,662mm. Sub-kerangka depan dan bahagian enjin pula dipinjam dari cesi Honda Jazz/City kerana Brio hanya memiliki enjin 1200cc sahaja.
Secara jujurnya penulis menyukai rekaan muka depan BR-V yang nampak gagah bagaikan SUV besar walaupun ia hanyalah sebuah crossover kompak. Penggunaan krom tebal di bahagian ambilan udara atas, rekaan bampar yang agresif serta cover skid plate yang berwarna perak memberikan ilusi ia sebuah pacuan empat roda.

Lampu hadapan menggunakan lampu teknologi projektor dengan lampu halogen, lampu DRL yang terbina dalam serta sepasang lampu kabus halogen. Ia datang dengan fungsi auto yang akan menghidupkan lampu secara automatik apabila hari mulai gelap serta memiliki fungsi Follow Me Home

Profail sisi pula menampilkan 2 garisan pada tepi pintu, rel bumbung yang boleh menampung berat sehingga 30kg, pelapik plastik pada bahagian arch tayar dan juga pemijak kaki yang penulis rasakan tidak perlu kerana BR-V tidaklah tinggi sangat sehingga ia menyusahkan penumpang keluar dan masuk. Jarak kelegaan bumi 201mm masih boleh diterima. Cuma rekaan belakang nampak sedikit canggung.
Rekaan lampu belakang yang kecil dan ringkas serta kedudukan no pendaftaran yang agak ke bawah nampak tidak kena di mata penulis dan kami pasti ramai yang bersetuju.

Ruang Dalaman
Sebaik sahaja anda duduk di ruang kabin, perkara pertama yang anda perasan ialah rekaan papan pemuka BR-V yang mirip kepada rekaan papan pemuka Jazz/ City tetapi diolah semula agar BR-V memiliki identitinya tersendiri. Corong penyaman udara dihias dengan kemasan plastik perak, corak papan pemuka di sebelah penumpang depan dipasang dengan corak karbon dan unit kawalan penyaman udara menggunakan butang dengan paparan digital.
Kusyen yang digunakan dibuat dengan sokongan minima pada bahagian peha menjadikan kusyen ini luas. Sokongan pada bahagian belakang wujud pada bahagian pinggang agar kedudukan anda tetap sewaktu mengambil selekoh. Roda stering pula diambil dari model Civic FD hanya boleh diubah ketinggian sahaja dan tidak memiliki ciri teleskopik.

Paparan meter pula diambil dari model City/Jazz menjadikan ia mudah dibaca. Tombol gear untuk kawalan unit CVT menggunakan rekaan sendiri dengan memberikan pilihan kawalan pada pemandu untuk mengawal kedudukan gear pada kedudukan P, R, N, D, S dan juga L.

Paparan meter ini akan memberikan maklumat bacaan RPM, halaju yang mendominasi ruang tengah, maklumat tambahan digital pada bahagian tepi yang memaparkan maklumat baki jarak perjalanan dengan petrol yang ada, suhu luar kabin, baki petrol serta penggunaan petrol semasa. Sekali imbas, penulis sudah boleh mendapatkan maklumat pemanduan semasa.
Barisan kedua memuatkan 3 tempat duduk boleh laras dari segi kedudukan dan juga sudut untuk menyandar. Terdapat 3 perehat kepala disediakan menjadikan perjalanan jarak jauh agak selesa. 3 corong penyaman udara dengan paip penyejuk disediakan di bahagian atas dengan butang kawalan yang nampak lebih kemas daripada Aruz.

Akhir sekali ialah tempat duduk barisan ketiga dengan ciri perehat kepala yang masih boleh memuatkan penulis dengan ketinggian 163cm untuk perjalanan tidak lebih 2 jam. Bagi memuatkan kaki, lantai untuk barisan ketiga telah dikorek sedikit agar kaki penumpang tidak menjadi tergantung. Mungkin kanak-kanak lebih sesuai duduk di belakang
Disebabkan BR-V ini menggunakan cesi Honda Brio, maka akan wujud beberapa kelemahan yang akan menjustifikasikan harganya pada RM 87,701 seperti rekaan roda stering nampak lama seperti dikitar semula, steering tiada ciri teleskopik, kusyen terasa sedikit keras menyebabkan badan penulis terasa sedikit lenguh, kusyen barisan ketiga tidak boleh dilipat dalam konfigurasi 50:50 dan hanya boleh dilipat penyandar sahaja serta pencuci cermin hadapan hanya menggunakan satu nozzle sahaja.

Enjin dan Unit Transmisi
Enjin dari susur galur L15A7 digandingkan dengan tranmisi CVT Earth Dream Technology menjadi pilihan untuk pasaran Malaysia. Enjin yang sama dengan City/Jazz ini menghasilkan 118 kuasa kuda dengan 145Nm tork merupakan enjin yang paling bertenaga di dalam kelas cross/MPV segmen B buat masa ini. Untuk pasaran India BR-V ditawarkan dengan pilihan enjin i-DTEC turbodiesel 98 kuasa kuda.
Pengalaman Pemanduan
1. Satu perkara yang boleh dipuji bagi BR-V ialah kombinasi enjin dan juga transmisi CVT yang digunakan. Ia lancar, senyap dan pecutan dari keadaan statik agak terasa berabnding dengan pesaingnya yang lain. Jika dipandu mengikut halaju kebangsaan di lebuh raya, jarum RPM hanya menunjukkan bacaan sekitar 2,200 RPM sahaja.

2. Jika ditekan dengan kasar, maka unit L15A7 i-VTEC ini tidak teragak-agak untuk memerah tenaga bagi memecut pada kelajuan 160km/h pada 4000 RPM. Namun janganlah mengharapkan ia memecut seperti kembarnya L15B7 turbo yang jauh lebih bertenaga. Tork maksima 145Nm akan dihantar dalam keadaan sekata dan pecutannya terasa sedikit malas. Namun ia akan terus memecut selagi kaki anda menekan pedal
3. Kelebihan menggunakan CVT bagi cross over kompak ini ialah transmisi ini berupaya mengekstrak potensi maksima enjin samaada untuk penjimatan bahan api ataupun untuk memecut. Jika anda memandu santai sekitar 70-80km/j, maka RPM tidak akan melebihi 2000. Tapi jika anda kerap meminta pecutan, maka lampu ECO akan jarang sekali menyala. Pada hemat penulis, CVT yang diambil dari model City/Jazz ini dibuat dengan ratio yang lebih besar dan panjang

4. Disebabkan cesi yang dibina menggunakan Honda Brio, maka pemanduan BR-V akan lebih baik berbanding dengan crossover ataupun MPV lain yang menggunakan cesi ladder frame. Salah satu kelebihannya ialah berat yang lebih ringan dan bila digandingkan dengan enjin yang lebih berkuasa, pecutan BR-V juga lebih memuaskan berbanding dengan pesaingnya.
5. Kelebihan kedua ialah kawalan cesi ketika mengambil selekoh. Tambahan pula tayar yang digunakan hanya besar sedikit sahaja daripada tayar yang digunakan dari model sedan menjadikan kawalan cesi BR-V ketika mengambil selekoh lebih meyakinkan. Kestabilan cesi ketika jalan lurus juga jauh lebih baik berbanding dengan sedan Korea dari segmen C.

6. Namun kelemahan tayar dengan ratio rendah ini sedikit menjejaskan keselesaan pemanduan ketika melalui jalan yang tidak rata. Tayar Bridgestone Ecopia ini terasa sedikit melantun pada permukaan jalan kasar dan menyalurkan sedikit gegaran pada roda steering. Kawalan stering pula boleh dikatakan neutral bagi sebuah crossover kompak
7. Dari segi aspek brek, kuasa brek yang dihasilkan oleh brek cakera sejukan udara depan dan brek belakang boleh dipuji. Penulis hanya perlu tekan pedal sedikit saja dan respon brek akan datang dengan serta merta. Jika digabungkan dengan faktor pengendalian, kawalan cesi, sistem brek dan juga prestasi enjin, ia bagaikan memandu sebuah sedan dengan 2 tempat duduk ekstra di belakang.

Keluasan Kabin
8. Walaupun semua kerusi digunakan, masih wujud ruang bagasi sebesar 223 liter di ruang belakang cukup jika anda menggunakan beg pakaian yang dibuat menggunakan Velcro. Namun jika tidak mencukupi, lipat saja penyandar belakang untuk ruang yang lebih besar atau lipat sahaja semua kerusi barisan ketiga untuk ruang maksima 539 liter
9. Kelebihan BRV ialah flesibiliti susunan kusyen yang boleh diatur berbanding dengan sedan. Barisan kedua juga boleh dilipat pada ratio 60:40 untuk memuatkan ruang kargo yang Panjang. Ia juga boleh ditarik ke depan bagi memberikan lebih ruang kaki untuk penumpang barisan ketiga.

10. Ada 11 ruang untuk semua penumpang meletakkan botol minuman atau telefon pintar yang disusun pada semua barisan tempat duduk. Peralatan kecemasan untuk membuka tayar disimpan kemas di dalam panel dinding di bahagian belakang.
11. Unit audio yang digunakan memiliki keupayaan sambungan USB, Bluetooth, dan boleh diselaraskan melalui sambungan HDMI pada skrin sebesar 6.1 inci. Bunyi pula walaupun menghasilkan bunyi yang memuaskan namun hanya disalurkan pada 4 pembesar suara iaitu 2 di depan dan 2 di barisan ketiga.

Sistem Keselamatan
12. Kelemahan utama BR-V ialah ia hanya menawarkan perlindungan 2 beg udara sahaja berbanding dengan pesaingnya yang menawarkan sehingga 6 beg udara. Namun brek ABS, EBD, Kawalan Mula Mendaki dan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik ditawarkan pada semua varian. Ye masih ada MPV mampu milik yang tidak ditawarkan dengan ESC walaupun pada masa sekarang Perodua Axia sudah menawarkan ciri ini.
13. Kelemahan lain ialah BR-V kekurangan sistem pencegahan kemalangan seperti Aruz yang menggunakan sistem Advance Safety Assist yang menawarkan sistem brek pra perlanggaran automatik. Avanza pula menawarkan sistem pengesan titik buta, dan Toyota Rush pula menawarkan kesemua sistem Brek Pra-Perlanggaran, sistem amaran titik buta dan ESC.

14. Cagak pemasangan kerusi bayi ada disediakan pada barisan kedua serta kamera undur belakang ditawarkan hanya pada varian V sahaja. Namun begitu BR-V diberikan penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP dengan markah pematuhan 14.79/16 serta 72% bagi perlindungan kanak-kanak.
Bunyi bising, getaran dan kekasaran
15. Sekali lagi kelemahan menggunakan cesi untuk kereta kompak kos rendah ialah ia kekurangan bahan penebat untuk menghalang bunyi bising tayar, bunyi enjin dan juga pelbagai bunyi mekanikal dari sistem daripada masuk ke ruang kabin. Sekiranya lebih banyak penebat digunakan, penulis pasti pengalaman pemanduan BR-V akan menjadi lebih baik
Halaju km/j | RPM | Bunyi dB |
90 | 1800 | 69 |
100 | 2000 | 70 |
110 | 2200 | 71 |
120 | 2500 | 72 |
130 | 2700 | 74 |
140 | 3000 | 76 |

Penggunaan Petrol
16. Bagi pemanduan secara realistik yang merangkumi laluan lebuh raya, kesesakan jalan bandar, jalan raya persekutuan serta memecut di lebuh raya, Honda BR-V ini menawarkan jarak perjalanan sekitar 534km bagi setiap kali isian petrol penuh (RM 78). Maka secara purata BR-V memberikan jarak perjalanan sejauh 14.1km bagi setiap liter petrol.
17. Bagi sebuah crossover kompak dengan seberat 1240kg, bagi penulis angka ini sudah cukup memadai. Namun jika dipandu dengan lebih berhemah dan mematuhi panduan lampu ECO, maka ia boleh mencapai 15km bagi setiap liter petrol.

Apa yang perlu Honda buat jika model facelift dikeluarkan?
18. Untuk mengejar sistem pesaingnya, Honda perlu menaiktaraf BR-V dari segi aspek keselamatan dengan menambah jumlah beg udara menjadi 6. Sistem Honda Sensing juga perlu diperkenalkan terutamanya bagi fungsi Amaran Brek Pra-Perlanggaran dan juga brek Pra-Perlanggaran
19. Sistem penebat bunyi perlu ditambah baik dengan segera terutama bagi mengelakkan bunyi tayar, enjin dan juga bunyi luar daripada masuk ke dalam kabin penumpang. Kawan penulis yang memiliki BR-V memberi komen “seperti memandu dengan cermin dan pintu terbuka luas”

Siapa yang patut beli?
Sekiranya anda sedang mencari sebuah kereta berkapasiti 7 tempat duduk, nampak sporti, memiliki ciri crossover kompak, memiliki pengendalian bagaikan sebuah sedan dengan harga kurang RM 90,000 maka Honda BR-V akan memberikan anda nilai pada setiap sen duit yang dibelanjakan.
Ia tangkas, bergaya dan dengan jarak kelegaan muka bumi yang tinggi anda masih boleh meredah masuk ke kebun durian serta ke pantai dengan mudah. Tapi anda perlu ingat, BR-V sudahpun berada di pasaran selama 3 tahun dan ia ketinggalan jauh dengan pesaingnya dari segi aspek keselamatan dan NVH