Buletin

HONDA LANCAR VEZEL (HR-V) FACELIFT DI JEPUN – SEMUA VARIAN KINI DILENGKAPI HONDA SENSING

Honda baru sahaja melancarkan versi dfacelift SUV kompak popularnya, Vezel di pasaran Jepun.

Dikenali sebagai HR-V di Malaysia, Vezel tampil dengan pembaharuan yang tidaklah terlalu ketara. Dari segi luaran, Vezel kini dipasang dengan gril, bampar hadapan baharu,  lampu utama dan lampu kabus LED.

Ketika peralatan yang dipasang menentukan variannya, Honda bagaimanapun melengkapkan semua varian Vezel dengan sistem keselamatan Honda SENSING untuk pengguna di Jepun.

Sedia maklum bahawa Honda SENSING merupakan rangkuman sistem keselamatan seperti Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System (RDM), Adaptive Crusie Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CBMS) dan Forward Collision Warning (FCW).

Menjengah ke ruang kabin, penambahbaikan yang dibuat melibatkan tempat duduk hadapan dengan bentuk baharu. Selain fungsi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk rasa lebih premium, Vezel didatangkan dengan kemasan dua tona berwarna coklat dan hitam. Aspek NVH juga telah ditambah baik menerusi penggunaan lebih banyak material penyerap bunyi dan pam bahan api yang lebih senyap.

Vezel masih menggunakan khidmat enjin empat silinder pancitan terus bersesaran 1.5 liter dan sistem Sport Hybrid i-DCD yang sama seperti pada model Jazz dan City Hybrid. Honda dilapor telah melakukan talaan semula ke atas rangkaian kuasa hibrid tersebut. 

Versi petrol dipadankan dengan kotak gear DCT. Manakala model hibrid menggunakan transmisi klac berkembar. Pelanggan Jepun juga boleh memilih di antara pacuan hadapan dan semua roda yang dikatakan menawarkan cengkaman lebih baik di atas laluan bersalji.

Dengan semua penambahbaikan ini, Honda mensasarkan untuk menjual 5,000 unit Vezel sebulan di sana. SUV itu ditawarkan pada harga bermula ¥2,075,000 (RM75,815) sehingga ¥ 2,926,000 (RM106,900) seunit.

Honda Malaysia dijangka melancarkan HR-V facelift pada tahun ini. Namun, perincian tentang apa yang akan ditambah masih belum dapat dipastikan.

GALERI

Google ads
Back to top button