Buletin

HONDA MALAYSIA SAHKAN INFLATOR BEG UDARA TAKATA MELETUP DALAM SATU KEMALANGAN MAUT

Honda hari ini mengesahkan bahawa inflator beg udara peringkat satu Takata (SDI) telah pecah dalam satu kemalangan pada 1 Januari 2018. Kemalangan yang berlaku di Selangor itu menyebabkan pemandunya maut.

Namun, sebab rasmi kematian masih belum dapat ditentukan. Honda ingin menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Honda juga mengesahkan Honda City tahun 2004 tersebut termasuk dalam proses panggilan semula yang diumumkan pada 21 Mei 2015. Panggilan semula itu dibuat bagi menggantikan inflator beg udara berkenaan.

Beberapa pucuk surat notifikasi turut dihantar kepada pemilik berdasarkan maklumat daripada pangkalan data Honda. Malangnya, surat tidak dapat dihantar kepada pemilik terkini kerana ia sudah bertukar milik. Rekod Honda mendapati kereta tersebut tidak menukar inflator sebagaimana sepatutnya.

Kereta itu juga terlibat dalam panggilan semula untuk menukar inflator beg udara pada bahagian penumpang hadapan. Tetapi pada kemalangan itu, beg udara tersebut dapat berfungsi dengan baik.

Berikut adalah usaha yang telah dilakukan oleh Honda Malaysia berkaitan isu inflator beg udara Takata:

– Menghantar lebih 2,900,000 pucuk surat notifikasi kepada pelanggan yang terlibat.

– Mengiklankan kempen dan mengeluarkan kenyataan media sebagai makluman kepada orang awam.

– Membuat satu notis dan carian VIN (nombor chasis) di laman web: www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my

– Menjalankan kempen ‘outreach’ dalam semua aktiviti luar dan siri jelajah.

– Menghantar e-mel kepada lebih 35,800 pelanggan yang terlibat.

– Menghantar lebih 2,760,000 SMS kepada pelanggan yang terlibat.

– Berkongsi maklumat mengenai panggilan semua di dalam majalah Honda’s With Dreams’.

– Membuat panggilan kepada lebih 71,700 orang pelanggan yang terlibat.

Sehingga 25 Januari 2018, Honda Malaysia telah menukar 221,000 unit (84 peratus) inflator beg udara Takata pada bahagian pemandu. Manakala jumlah keseluruhan penggantian untuk pemandu dan penumpang hadapan adalah lebih 427,000 unit atau 76 peratus.

Google ads
Back to top button