Buletin

HONDA MALAYSIA SAMBUT ULANG TAHUN KE-25, TAWAR GANJARAN BERNILAI RM1 JUTA

Honda Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 kehadirannya di pasaran tempatan dengan melancarkan kempen khas “Because of You” yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.

Sepanjang tiga bulan ini, pelanggan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM1 juta – tawaran terbesar yang pernah dianjurkan syarikat itu.

Antara hadiah utama ialah enam model Honda termasuk WR-V RS, City RS, City Hatchback RS, Civic RS, HR-V (varian V) dan CR-V e:HEV RS.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata kejayaan syarikat sejak 2000 banyak dipacu oleh kepercayaan pelanggan dan sokongan kerajaan.

“Dalam tempoh 25 tahun ini, kami telah melalui pelbagai cabaran dan pencapaian. Sokongan rakyat Malaysia membolehkan Honda mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama 11 tahun berturut-turut,” katanya.

Sepanjang kempen, pelanggan yang membuat pandu uji atau mendaftarkan sebarang model Honda di pengedar sah akan menerima penyertaan cabutan bertuah.

Dua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui Facebook rasmi Honda Malaysia dan rangkaian pengedarnya.

Selain itu, beberapa program khas turut ditawarkan, antaranya Honda Loyalist & Loyalist Plus Programme dengan rebat tunai atau baucar servis sehingga RM2,000 untuk pemilik Honda sedia ada, ahli keluarga mereka serta pemilik motosikal Honda.

Upgrader Programme pula memberikan rebat sehingga RM1,500 untuk pelanggan yang menukar kenderaan kepada model City atau WR-V.

Honda Malaysia turut memperkenalkan Program Penjawat Awam, yang menawarkan rebat tambahan RM1,500 untuk pembelian model City, Civic atau HR-V sepanjang tempoh promosi.

Pelanggan juga boleh menikmati program tukar beli melalui Honda Certified Used Cars (HCUC), pembiayaan fleksibel, serta diskaun selepas jualan sebanyak 25 peratus bagi alat ganti terpilih seperti Belt Alternator, Link Stabilizer, Lower Arm dan Absorber.

Sejak ditubuhkan, Honda Malaysia telah menjadi antara penggerak utama dalam industri automotif tempatan.

Bermula dengan pemasangan CR-V di kilang Pegoh pada 2003, syarikat ini turut memperkenalkan Civic Hybrid pada 2004, menggandakan kapasiti pengeluaran kepada 100,000 unit pada 2014, selain mencapai jualan sejuta unit pada 2021 dan pengeluaran sejuta unit pada 2022.

Google ads
Back to top button