Buletin

ISU PAM BAHAN API, HONDA MALAYSIA PANGGIL SEMULA 87,490 UNIT KENDERAAN

Honda Malaysia mengumumkan satu langkah panggilan balik melibatkan 87,490 unit kenderaan keluarannya bagi tujuan penggantian pam bahan api sebagai langkah pencegahan.

Langkah ini diambil selepas pihak Honda mengesan dua isu berasingan yang berpotensi menjejaskan operasi pam bahan api.

Pertama, sebanyak 84,073 unit daripada model seperti Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey dikenal pasti berkemungkinan menghadapi masalah pada pam bahan api jenis impeller.

Impeller pada pam bahan api dikatakan boleh mengembang apabila terendam dalam bahan api untuk jangka masa panjang, sekali gus mengakibatkan enjin sukar dihidupkan atau terhenti semasa pemanduan.

Senarai tahun pengeluaran model-model yang terlibat adalah seperti berikut:

Model dan Tahun Pengeluaran (Masalah Impeller)

  • Jazz: 2015 – 2020
  • Jazz (Hybrid): 2018
  • City: 2014 – 2019
  • City (Hybrid): 2018 – 2019
  • Civic: 2017 – 2018
  • Accord: 2013 – 2017
  • BR-V: 2017 – 2018
  • HR-V: 2015 – 2018
  • CR-V: 2018 – 2020
  • Odyssey: 2017 – 2019

Manakala satu lagi masalah membabitkan pam bahan api tekanan tinggi, di mana komponen berkenaan berisiko retak akibat tekanan berlebihan dalam tempoh penggunaan lama.

Ia boleh menyebabkan kebocoran bahan api atau bau bahan api yang ketara. Isu ini melibatkan 3,417 unit daripada model Civic dan CR-V bagi tahun 2023 hingga 2024.

Model dan Tahun Pengeluaran (Pam Tekanan Tinggi)

  • Civic: 2023 – 2024
  • CR-V: 2024

Honda Malaysia menegaskan bahawa model yang sedang dihasilkan dan dijual pada masa ini tidak terkesan oleh isu ini.

Syarikat juga menekankan bahawa keselamatan pelanggan adalah keutamaan tertinggi, justeru langkah ini dianggap penting demi memastikan keyakinan pengguna terus terpelihara.

Pelanggan yang terlibat akan menerima surat pemberitahuan rasmi dan boleh menyemak status kenderaan mereka melalui aplikasi HondaTouch atau dengan menghubungi pengedar sah Honda. Mereka juga boleh membuat janji temu bagi tujuan penggantian komponen sebaik menerima notis.

Segala kos penggantian termasuk alat ganti dan caj buruh akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia, dan stok alat ganti akan disalurkan secara berperingkat.

Setakat ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan akibat masalah ini di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau semakan status, pengguna boleh mengakses aplikasi HondaTouch, menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari laman web rasmi di www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my.

Google ads
Back to top button