
HONDA MALAYSIA & KTMB JALIN KERJASAMA, SEDIAKAN 25 UNIT HONDA E:N1 UNTUK PERSIDANGAN ARCEOs’
Honda Malaysia menjalin kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai Rakan Rasmi Pengangkutan Kenderaan bagi Persidangan Ketua-Ketua Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) ke-45 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September 2025.
Sebagai sebahagian daripada sokongan acara itu, Honda Malaysia menyediakan 25 unit kenderaan elektrik sepenuhnya, All-New e:N1, untuk kegunaan pemimpin dan wakil delegasi dari lapan negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Laos.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata pihaknya berbangga dapat menyokong penganjuran berprestij ini dan membantu memastikan kelancaran pergerakan tetamu sepanjang persidangan.
“Kerjasama dengan KTMB mencerminkan sinergi antara sektor automotif dan keretapi dalam memperkukuh usaha mobiliti hijau. Melalui teknologi kenderaan elektrik Honda, kami bukan sahaja menawarkan perjalanan yang selesa, tetapi turut menyumbang ke arah sasaran kelestarian serantau,” katanya.

Beliau menambah, ARCEOs’ ke-45 yang menghimpunkan pemimpin dan penggubal dasar daripada seluruh ASEAN menjadi platform penting untuk bertukar pandangan serta merangka strategi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan.
Pemangku Presiden Kumpulan KTMB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ARCEOs’ ke-45, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah kepada persidangan yang bertemakan “Driving Innovation, Connecting Borders”.
“Persidangan ini bukan sekadar perbincangan, tetapi medan untuk memperkukuh kerjasama serantau, merangka visi baharu dan mendorong pertumbuhan ekonomi ASEAN melalui pengangkutan mampan.
“Sokongan Honda Malaysia dengan menyediakan kenderaan elektrik terkini membuktikan komitmen bersama dalam meningkatkan standard perjalanan mesra alam dan berhubung di seluruh rantau,” katanya.
Melalui inisiatif ini, KTMB dan Honda Malaysia memperkenalkan standard baharu dalam penyediaan mobiliti hijau yang mengutamakan keselesaan, kelestarian serta keterhubungan serantau.







