Pandu Uji

HONDA e:HEV – SISTEM HIBRID PALING PADU SETAKAT INI

Sama ada kita sedar atau tidak, Honda sudahpun membangunkan teknologi hibrid selama lebih 21 tahun. Dalam tempoh sepanjang itu, pastinya banyak pengalaman dan penemuan teknologi terbaharu berjaya dicipta bagi menjadikan sistem hibrid mampu memenuhi piawaian industri semasa serta ekspektasi pasaran. 

Honda memulakan pembangunan teknologi hibridnya menerusi Integrated Motor Assist (IMA) yang diperkenalkan sekitar tahun 1999 melalui Honda Insight generasi pertama. Sistem ini menggunakan motor elektrik kecil yang membantu enjin petrol ketika pecutan dan mengurangkan beban bahan api. Ia bersifat “mild hybrid” kerana motor elektrik tidak boleh menggerakkan kereta secara sepenuhnya tanpa bantuan enjin.

Honda kemudian membangunkan pula Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang merupakan generasi hibrid lebih maju yang menggunakan satu motor elektrik dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7 kelajuan.

Direka untuk pemanduan lebih sporty dengan penukaran gear pantas dan kecekapan lebih baik, sistem berkenaan digunakan pada model seperti Jazz Hybrid dan City Hybrid di pasaran Asia Tenggara.

Terkini, Honda tampil dengan teknologi hibrid pintar e:HEV (sport hybrid i‑MMD) yang telah diperkemas selama bertahun‑tahun. Ia menjadi nadi kepada rangkaian model hibrid terbaharu daripada Honda City, Civic, HR‑V ke CR‑V e:HEV. Ia bukan sekadar sistem hibrid biasa, tetapi gabungan piawaian prestasi, kecekapan bahan api dan keselesaan pemanduan.  

Bagaimana sistem e:HEV berfungsi?

Sistem e:HEV menggunakan susun atur unik melibatkan dua motor elektrik dan enjin petrol dalam konfigurasi hibrid bersiri-paralel. Ia menyesuaikan mod pemanduan (EV, hibrid dan enjin) mengikut kelajuan dan tenaga yang diperlukan untuk menawarkan kecekapan optimum:

  • Mode EV (EV Drive Mode): Ketika dipandu pada kelajuan rendah atau pemanduan di bandar, motor elektrik memacu kenderaan sepenuhnya dengan enjin tidak dihidupkan, sekali gus menjadi seperti sebuah kereta elektrik. 
  • Mode hibrid (Hybrid Drive Mode): Enjin petrol bertindak sebagai generator, mengecas bateri dan/atau menggerakkan motor untuk menjana tenaga elektrik. Mode ini akan digunakan apabila pecutan diperlukan dan bateri berada dalam takat yang rendah. Pemandu tidak akan rasa pertukaran gear dan penjimatan bahan api dapat ditingkatkan. 
  • Mode enjin (Engine Drive Mode): Pada kelajuan tinggi, enjin disambungkan terus ke roda melalui klac mekanikal seolah‑olah kenderaan petrol biasa.  

Komponen utama sistem e:HEV

  • Motor Pemacu (Drive Motor) – memacu roda pada kebanyakan masa.
  • Motor Generator – mengecas bateri, melembutkan permulaan enjin dan fungsi start/stop.
  • Enjin 1.5L atau 2.0L (Atkinson cycle) – teknologi VTEC+VTC yang memberi kecekapan haba sehingga 40 peratus.   
  • Bateri litium‑ion – saiz kompak, tenaga padat dan mengecas semasa regenerative braking.
  • Unit kawalan kuasa (PCU) serta sistem pendingin ATF untuk kawalan elektrik dan motor.  

Prestasi & Kecekapan

  • Pecutan 0–100 km/j kira‑kira 7.9 saat (Civic RS e:HEV), lebih pantas daripada varian turbo biasa.  
  • Tork sekitar 315 Nm, lebih tinggi daripada varian turbo 1.5L (sekitar 240 Nm). 
  • Dalam ujian sebenar, Civic e:HEV mencatat penggunaan hanya sekitar 4.3 L/100 km atau bersamaan 19–20 km/l petrol, walaupun dengan gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya.  
  • Setiap mod pemanduan disusun untuk menjimatkan bahan api sepanjang masa dan meminimumkan emisi.

Bagi merasai sekali lagi kelancaran dan betapa padunya teknologi hibrid e:HEV ini, Honda Malaysia telah menjemput kami untuk turut serta dalam satu sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Saya memulakan sesi pandu uji berkenaan dengan CR-V e:HEV sebelum beralih ke varian Civic e:HEV untuk sampai ke destinasi. 

Maaf jika saya sedikit bias dengan CR-V e:HEV kerana ia merupakan SUV hibrid kegemaran sejak ia dilancarkan beberapa tahun lalu. Secara peribadi, CR-V e:HEV ialah sebuah SUV segmen C yang hampir sempurna jika dinilai dari segi rekaan luaran, dalaman, teknologi dan sebagainya. 

Jentera berkenaan bukan sahaja jimat (berjaya catat penggunaan sekitar 19km/l) walaupun bukanlah dipandu perlahan sepanjang perjalanan.

Berada di dalam kabin juga memuaskan, ciri active noice cancellation, tingkap jenis double-glass dan rim 18 inci tu siap ada wheel resonator nyata membuatkan perjalanan rasa lebih senyap. Ditambah pula dengan ruang dalaman yang luas dan sistem bunyi daripada Bose, tidak ada ada yang boleh saya komplen lagi.  

Masuk ke dalam Civic e:HEV, anda harus bersedia untuk menikmati pemanduan yang lebih sporty. Dengan posisi tempat duduk yang rendah, semua kawalan sama ada pedal minyak, brek, stereng berasa begitu natural. Ini membuatkan pemanduan rasa begitu meyakinkan. Cuma saya ada satu sahaja komplen, kerusi yang dibalut material kulit dan suede itu rasa agak keras dan kurang selesa jika terpaksa menempuh perjalanan yang lama. 

Biarpun begitu, dinamik pemanduan, kuasa dan penjimatan yang sedan itu tawarkan sudah boleh membuatkan sesiapa sahaja untuk ketagih memandu. Sedar-sedar dah sampai Pulau Pinang. Hahaha.. 

Sedia maklum bahawa Hampir kesemua model Honda baru di Malaysia kini mempunyai varian e:HEV – seperti City e:HEV V & RS, Civic RS e:HEV, HR‑V e:HEV, dan CR‑V e:HEV RS. Model Civic RS e:HEV dijual pada harga sekitar RM166,500 dan menerima sambutan hangat meskipun harga lebih tinggi (sekitar RM16,000) berbanding varian turbo.  

Jadi, kenapa e:HEV relevan untuk Malaysia? Jawapannya mudah, sistem e:HEV Honda bukan sekadar bonus teknologi ia adalah bahagian penting dalam strategi mobiliti lestari.

Ini kerana teknologi hibrid tersebut menggabungkan aspek-aspek seperti penjimatan, kuasa, senyap dan selesa. Jadi, jika anda sedang mempertimbangkan kereta hibrid pertama, e:HEV boleh menjadi pilihan terbaik buat masa sekarang. 

GALERI

Google ads
Back to top button