Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN 100,000 UNIT UNTUK TAHUN 2017

Di sebalik persekitaran pasaran yang cukup mencabar sepanjang tahun 2016, Honda Malaysia tetap berjaya mencatat jualan memberangsangkan.

Walaupun angka rasmi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk tahun 2016 jatuh sebanyak 13% berbanding tahun sebelumnya dan menurun buat pertama kalinya bawah 600,000  dalam tempoh lima tahun kepada 580,124 unit, Honda Malaysia berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan pada akhir tahun 2016 dengan jualan 91,830 unit.

Pencapaian yang memberangsangkan itu diterjemahkan kepada 15.8 peratus  perkongsian pasaran. Ini merupakan perkongsian pasaran kedua tertinggi dalam operasi automobil Honda di peringkat global.

Di Malaysia, peratusan itu membolehkan Honda mengekalkan posisi No. 1 dalam segmen Bukan Nasional untuk dua tahun berturut-turut. Di samping membantu meletakkan syarikat untuk berada di kedudukan kedua dalam  TIV keseluruhan buat pertama kalinya di Malaysia.

“Biarpun kebanyakan analisis menjangkakan perkembangan yang kurang baik, kami percaya industri automotif mempunyai perkembangan positif pada tahun 2017 dengan sentimen pasaran di rantau ini akan beransur-ansur pulih. Justeru, kami menjangkakan TIV untuk tahun 2017 akan mencecah  600,000 unit,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi.

Dengan jangkaan TIV 600,000 unit, Honda Malaysia telah menetapkan sasaran sebanyak 100,000 unit pada tahun ini, meningkat lapan peratus berbanding tahun lalu. Ini bagi mengekalkan posisinya selaku peneraju pasaran.

Ketika mengumumkan sasaran jualannya pada majlis penghargaan media, Honda Malaysia turut berkongsi hala tuju dan model perancangannya.

Pada tahun 2016, Honda Malaysia telah melancarkan dua model baharu yang menjadi pengubah permainan serta sebuah sedan eksekutif yang menawarkan pakej terbaik.

Civic serba baharu dan Accord baharu jelas menetapkan satu penanda aras baru menerusi pakej pemanduan, reka bentuk, keselamatan dan ciri–ciri termaju yang luar biasa serta memberi nilai kepada wang. Sehingga kini, kedua-dua model itu mencatat jualan No. 1 dan menerajui segmen masing-masing.

Civic Generasi ke-10 yang revolusionari itu mencatatkan peningkatan yang mengagumkan iaitu 165 peratus berbanding jualan model sama pada tahun 2015. Ia menjadi peneraju segmen dengan penguasaan pasaran sebanyak 68 peratus dalam tempoh enam bulan sejak dilancarkan. Manakala Accord yang sentiasa menjadi model utama Honda Malaysia mengakhiri tahun lalu dengan mengungguli segmennya menerusi jualan 2,400 unit.

Untuk tahun 2017, Honda Malaysia bakal memperkenalkan empat model baharu. Pada awal Januari lalu, BR-V baharu telah diperkenalkan ke dalam keluarga Honda untuk melengkapkan lagi tawaran kenderaan utiliti Honda, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.

Bagi rangkaian produk ini, CR-V menjadi perintis dalam segmen SUV apabila menawarkan satu pakej ruang dan versatiliti yang terbaik. HR-V pula mencetuskan revolusi dalam segmen Kenderaan Utiliti Sukan Kompak (SUV). Tahun lalu, hampir 25,000 unit HR-V berjaya dijual.

Permulaan kukuh tahun baru turut disokong oleh langkah Honda Malaysia yang mula membuka tempahan untuk City baharu pada 1 Februari 2017. Dipacu oleh kejayaan model generasi keempat ini, City merupakan peneraju segmen B apabila lebih 100,000 unit berjaya dijual sejak ia dilancarkan pada Mac 2014.

Menawarkan “ciri segmen C pada harga segmen B”, City baharu yang telah dipertingkatkan itu hadir bersama ciri-ciri termaju. Pada masa sama mengekalkan aspek keselesaan dan ruang luas yang mendahului kelasnya. City baharu diiktiraf sebagai Kenderaan Jimat Tenaga (EEV) dan menawarkan penjimatan bahan api luar biasa.

Selain fokus kepada produk yang memberi nilai terbaik kepada wang, Honda Malaysia turut memberi penekanan terhadap aspek kepuasan pelanggan.

Sejak lima tahun lalu, jualan Honda Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang amat memberangsangkan dengan lebih 350,000 unit kenderaannya berjaya dijual. Ketika syarikat terus berkembang, ia merancang untuk menaik taraf setiap titik hubungan pelanggan yang melibatkan kemudahan hinggalah infrastruktur.

BACA: HONDA BR-V TERIMA TEMPAHAN 7,000 UNIT, MODEL TERLARIS HONDA 2017

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button