Buletin

HONDA MALAYSIA SERAH LEBIH 1,300 UNIT HR-V DALAM TEMPOH SEBULAN

Honda Malaysia baru-baru ini menyerahkan model Honda HR-V e:HEV pertama kepada pembelinya, Nurul Hafida Mhd Jais dalam satu majlis yang diadakan di MJN Motors di Cheras, Selangor.

Sebagai pemilik pertama, Nurul Hafida juga menerima aksesori tulen Honda, Ultra Glass Body Coating dan barangan rasmi Honda bernilai RM5,700 sebagai tanda penghargaan.  

“Maklum balas yang kami terima terhadap HR-V serba baharu sangat memberangsangkan. Kami yakin model ini akan menjadi antara model paling laris sama seperti generasi terdahulu.

“Honda Malaysia juga telah menyerahkan lebih 1,300 unit HR-V dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

Bahagian luaran HR-V menerima transformasi sepenuhnya untuk tampil lebih bergaya dan premium. Wajahnya nampak dominan dengan reka bentuk grill yang sporty. Selain rekaan bar lampu LED pada bahagian belakang yang begitu menyerlah.

Buat pertama kalinya, crossover itu didatangkan dalam tiga pilihan enjin iaitu rangkaian kuasa hibrid e:HEV, 1.5L turbo dan 1.5 liter i-VTEC aspirasi biasa.  

Ruang kabin pula tampil bergaya dengan upholsteri kulit, pedal sports, pendingin hawa dua zon, skrin paparan 8 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto yang hadir sebagai ciri standard. HR-V juga didatangkan dengan sistem aliran udara Air Diffusion System untuk kabin yang lebih nyaman.

Maklumat lanjut mengenai HR-V, sila kunjungi mana-mana bilik pameran sah Honda, hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

Google ads
Back to top button