
PROTON EXORA 2023. 2 VARIAN, LOGO BAHARU, ARAHAN SUARA HI PROTON. BERMULA RM63K
PROTON hari ini melancarkan Proton Exora 2023 secara rasmi di PROTON KEB AutoSdn Bhd TTDI Kajang, Selangor.
MPV tujuh tempat duduk itu telah menerima kemas kini yang terdiri daripada penggayaan serba baharu merangkumi ciri-ciri seperti reka bentuk, ruang dalaman luas, fungsi pintar dan prestasi.
Jentera itu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6T Executive CVT pada harga RM62,800 dan 1.6T Premium CVT yang berharga RM69,800 seunit.

”Dengan lebih 180,000 unit terjual sepanjang 13 tahun, Proton Exora ialah MPV segmen C dengan jualan terbaik setakat ini. Ia berjaya mengekalkan kedudukannya hingga ke hari ini,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
Proton Exora 2023 dipasang dengan logo baharu PROTON pada gril hadapan dan belakang. Untuk tampil lebih sporty, ia dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim aloi bersaiz 1 inci, kemasan dua tona, skirting sisi dan spoiler belakang.
Bumbung hitam dan kemasan belakang berwarna hitam memberikan penampilan tersendiri di atas jalan raya.

Ruang kabin Exora dengan tujuh tempat duduk itu dibalut dengan kemasan kulit, stereng pelbagai fungsi dan tempat letak tangan pemandu dan penumpang hadapan memberikan sentuhan mewah dan selesa.
Ciri penting untuk sebuah MPV, setiap barisan tempat duduk dilengkapi corong pendingin hawa individu untuk penyejukan optimum dengan penapis kabin N95, didatangkan sebagai standard untuk meningkatkan kualiti udara.
Sistem infotainmen terdiri daripada monitor skrin sentuh 7 inci dan arahan suara ”Hi PROTON”. Navigasi dalam talian, penstriman muzik, ramalan cuaca, 4G dan Wi-Fi menawarkan pengalaman multimedia yang mengujakan.
Sistem itu juga menawarkan ketersambungan telefon pintar secara mirror link untuk peranti Android. Dua port USB pula tersedia untuk mengecas peranti elektronik anda.

MPV itu menggunakan enjin pengecas turbo 1.6 liter yang dipadankan dengan transmisi CVT. Ia mampu menjana kuasa 140PS dan tork 205Nm, bersama kualiti pengendalian PROTON yang sudah terbukti terbaik.
Dari segi keselamatan, Exora 2023 hadir dengan dua beg udara SRS hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Memarkir kini juga lebih yakin dengan adanya kamera undur dan sensor parkir belakang. Exora 2023 sudah dibuka untuk tempahan dalam talian dan di pusat pameran PROTON yang sah. Ia boleh didapati dalam lima warna yang menarik iaitu putih, kelabu, maroon, merah dan Cocoa Grey.
- BACA: BAIKI EXORA SETAHUN DI PUSAT SERVIS PROTON. TAPI TAK SIAP SIAP?
- BACA: MEKANIK MAUT DIHEMPAP KETIKA BAIKI PROTON EXORA
- BACA: BERGESEL DENGAN PROTON EXORA, GANDAR BELAKANG ALZA TERCABUT
- BACA: GEELY JIAJI: PENGGANTI PROTON EXORA? APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI
GALERI









