BuletinMotosikal

HONDA PCX 150 2018 SPEK INDO – RM 7.9K DAN YANG INI GUNA SET EKZOS OEM

Sebelum ini kami ada siarkan berita tentang isu hangat yang tular di Indonesia bila mana PT Astra Honda Motor (AHM) menayangkan sebuah model istimewa Honda PCX 150 baharu siap dengan sistem ekzos Akrapovic palsu.

AHM kemudian mengakui kesilapan tersebut dan menyatakan bahawa ia adalah set Yoshimura pula. Lagi sekali salah apabila ia bukanlah set Yoshimura dan kami pun tidak pasti set apa yang digunakan.

Tidak kisah la apa pun malas nak cerita pasal aib pengeluar tetapi apa pun skuter PCX 150 baharu telah selamat dilancarkan di Indonesia pada 7 Februari lalu dengan harga yang murah bangat berbanding di tempat kita.

Jika diikutkan sesaran enjin Honda PCX 150 ini berada dalam segmen Yamaha NVX 150 tetapi walaupun sama ianya adalah berbeza. Honda memposisikan PCX 150 kepada skuter premium berbanding Yamaha NVX 150 dalam kategori skuter sport.

Saingan terdekat Honda PCX 150 ialah Yamaha NMAX yang jenis tunggangan bersahaja.

Jadinya sekarang ini Honda ketinggalan apabila tidak mempunyai produk utama untuk bersaing dengan Yamaha NVX 150 jika dibandingkan di antara satu lagi segmen iaitu Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR.

Bercakap tentang harga, AHM berjaya memasarkan PCX 150 baharu pada angka yang sangat menarik. Skuter premium ini dipasarkan pada harga Rp 27,700,000 atau RM 7,926 untuk model CBS dan Rp 30,700,000 atau RM 8,781 untuk model ABS.

Bagaimana AHM boleh memasarkan pada harga yang jauh murah berbanding negara kita?

Salah satu sebabnya ialah model ini dipasang di Indonesia di kilang AHM Sunter.

Satu lagi sebab yang dikira munasabah ialah pasaran Indonesia yang sangat besar seterusnya membolehkan Honda mengambil kira faktor unjuran jualan tinggi.

Ini boleh dilihat sejak pertama kali diperkenalkan pada Disember lalu, tempahan inden telah pun mencecah 12 ribu unit.

Selain itu, AHM juga berjaya mengekalkan keistimewaan PCX 150 seperti Idling Stop System (ISS) yang dikatakan salah satu punca kenapa harga skuter ini tinggi di negara kita.

Di bawah ialah spesifikasi Honda PCX 150 Indonesia:

  • Empat warna untuk kedua-dua varian CBS dan ABS – Glamour Gold, Wonderful White, Brilliant Black dan Majestic Matte Red. 
  • Enjin generasi baharu 150cc dengan teknologi eSP (Enhanced Smart Power)
  • Penggunaan minyak yang jimat habis iaitu 45 km/liter mengikut ukuran ECE R40 dengan Euro 3 dan ISS
  • Rekabentuk dengan sisi kontur, lampu depan dan belakang baharu
  • Meter digital sepenuhnya dengan paparan pelbagai informasi
  • Honda Smart Key System dengan penggera keselamatan dan Answer Back System kalau-kalau tidak ingat mana satu skuter hangpa
  • ABS
  • Tayar depan dengan saiz lebih besar iaitu 100/80-14 dan tayar belakang saiz 120/70-14
  • Jarak antara roda (wheelbase) yang lebih pendek iaitu 1.313mm supaya lebih senang dikendalikan
  • Lampu LED untuk kesemua nyalaan
  • Soket DC untuk pengecasan alat elektronik
  • Sistem brek hidraulik gabungan untuk model CBS dengan angkup tiga omboh
  • Lampu kecemasan semasa membrek dengan kuat
  • Tangki paling besar dalam kelas iaitu lapan liter
  • Dua suspensi belakang

Satu perkara menarik AHM telah siap-siap menawarkan skuter premium ini dengan aksesori tambahan Honda Genuine Accesories (HGA) pada harga begitu menarik untuk tampil berbeza dengan ribuan PCX lain.

Berikut ialah aksesori Honda PCX 150 yang ditawarkan:

  • High Windscreen, Garnish Headlight, Garnish Fuel Cover, Garnish Taillight, End Cap Muffler dan Panel Step Floor
  • Harga bermula dari Rp 120,000 (RM 34.00) hingga Rp 600,000 (RM 171.00)
  • Topi keledar dengan tiga pilihan warna iaitu putih, perak dan red doff pada harga Rp 330,000 (RM 94.00).
  • Jaket kulit pada harga Rp 385,000 (RM 110.00)

Di pasaran tempatan pula, kami percaya Honda PCX 150 sebenarnya boleh pergi jauh tetapi dengan syarat harganya tidak sekeras sekarang walaupun Honda memposisikannya dalam segmen premium.

Pada pendapat kami juga biarlah segmen premium dan harga keras berada di liga motosikal berkuasa tinggi dan tinggalkanlah motosikal berkuasa kecil ini dalam padang permainan golongan marhaen. 

Selain itu, walaupun Yamaha NVX150 nampak garang dan sporti namun tidak semua pelanggan mempunyai citarasa sedemikian.

Ada yang lebih gemarkan tunggangan bersahaja dan hendak menunggang santai dan ke surau sahaja, jadi biarlah dengan imej surau berbanding imej cecah lutut layan selekoh di litar Sepang. 

Google ads
Back to top button