Buletin

HONDA RIDGELINE – TRAK PIKAP DOUBLE-CAB TERBAIK AMERIKA

Trak pikap double-cab memang sudah menjadi gaya hidup di seluruh dunia. Suatu ketika dahulu ia menjadi budaya rakyat Amerika tetapi kini boleh dikatakan ia semakin popular seluruh dunia termasuk di Malaysia. Dulu tokey-tokey balak je pakai sekarang tokey bundle, tokey tomyam, cikgu, peguam, doktor semua dah minat dengan trak pikap. Setengah siap dengan tema off road ready walaupun lopak air pun tak pernah masuk.

Antara jenama paling popular di Malaysia tentulah Ford dan Toyota begitu juga dengan Amerika tetapi mereka mempunyai banyak pilihan seperti trak keluaran Chevrolet, Dodge, GMC dan banyak lagi termasuk Honda. Honda? Bukan Honda banyak mengeluarkan kereta sedan hatchback dan SUV je ke? Benar, tetapi Honda sudah lama memasarkan pikap mereka yang dinamakan Ridgeline di Amerika Syarikat.

BACA: MERCEDES X-CLASS – TRAK PIKAP UNTUK GOLONGAN BANGSAWAN

Tahun ini, Honda Ridgeline telah ditabalkan sebagai North American Truck of the Year 2017. Ia mempunyai penampilan yang cukup sempurna dan elegan malah sekali lagi mempertahankan kedudukan sebagai kenderaan komersil pertama yang berjaya mendapat kedudukan Top Safety Pick dari Insurance Institute for Highway Safety.

Keunikan Honda Ridgeline ialah kerana ia mempunyai Dual Action Tailgate yang memberikan pemilik tempat simpanan tambahan di bahagian dek belakang. Ia boleh digunakan sebagai tempat menyimpan barang-barang yang tidak mahu dilihat orang ataupun sebagai tong pendingin minuman. Ia terletak di bahagian lantai ruang kargo belakang.

Selain daripada itu, kekuatan pikap ini ialah hasil penggunaan enjin V6 3.5-liter suntikan terus SOHC i-VTEC. Ia juga dilengkap dengan teknologi Variable Cylinder Management (VCM) dan digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Tenaga maksima yang mampu dijana ialah 280 bhp dengan tork tertinggi 355 Nm.

 

Kemewahan dalam kabin memang sudah menjadi kemestian model-model Honda. Ia bukanlah kemewahan seperti sebuah Rolls-Royce tetapi dengan sentuhan moden dan semestinya praktikaliti yang menjadi keutamaan. Bahagian tengah papan pemuka juga dilengkapi dengan skrin sesentuh lapan inci dengan ciri android auto dan Apple Car Play.

BACA: CHEVROLET COLORADO ZH2 – TRAK PIKAP TENTERA PALING GANAS

Pemandu boleh memilih sama ada untuk menggunakan pacuan roda belakang ataupun menggunakan fungsi pacuan semua roda (AWD). Jika Ridgeline sebelumnya ditawarkan dengan 12 pilihan kemasan dalaman, model baharu ini cuma ditawarkan dengan 9 pilihan sahaja. Itu pun dah cukup banyak bagi kita rakyat Malaysia. Dua warna baharu diperkenalkan iaitu White Diamond Pearl dan Lunar Silver Metallic (atau dalam bahasa mudahnya putih mutiara dan perak).

 

Trak ini memang cukup cantik tetapi cuma satu sahaja masalahnya iaitu, ia tidak dipasarkan di Malaysia. Kami memang cukup berharap ia akan dibawa ke Malaysia satu hari nanti dan bersaing hebat dengan trak paling popular di sini ketika ini iaitu Ford Ranger dan Toyota Hilux. Saingan ini juga akan bertambah sengit jika Mercedes-Benz membawa pikap pertama mereka yang dinamakan X-Class. Semakin banyak persaingan bermakna pilihan untuk pembeli semakin bertambah. Ayuh Honda Malaysia, kasi gegar pasaran pikap Malaysia satu kali.

Google ads
Back to top button