Modifikasi

INI BUKAN BIASA-BIASA, KENARI ADESSO NAMA DIBERI

Ada satu kereta kotak yang masih dimainkan oleh peminat Kei Jidosha tempatan. Satu model ni je dan ia tidak mempunyai zuriat selepas pengeluarannya dihentikan pada tahun 2009. Saya sendiri pernah pakai dan ia memang memiliki kelebihan yang tersendiri. Kalau peti sejuk pun boleh angkut masa nak pindah rumah, kau rasa?

Yang dimaksudkan tentulah model Kenari, kereta yang dicetak Perodua hasil kerjasama dengan pihak Daihatsu. Diasaskan dari model Move generasi kedua, ia direka oleh kumpulan jurutera yang patuh dengan arahan pembaris, sehingga melahirkan sebuah kereta berkotak lagi meninggi. Boleh jual pulak tu!

BACA: KENARI MOVE AMERICAN METAL 2

Hadi antara pemilik Kenari yang telah berjaya mengubah penampilan keretanya dengan cara cukup berbeza. Berbanding kit badan kebanyakan seperti RS, Aerodown, Peanut, American Metal, Casual dan lain-lain, beliau mencari kelainan menerusi pemilihan kit badan yang jauh lebih rare dan unik.

Unik sesungguh, sampai saya sendiri pun tak berani nak teka. Bagi peminat yang perasan, mesti akan berpaling beratus kali melihat penampilannya yang jauh berbeza.

Untuk makluman, Kenari ini telah dipasangkan dengan kit badan Move L900 Casual versi Adesso, sebuah model edisi terhad yang hanya dikeluarkan pada musim tertentu.

Berbanding model yang seangkatan dengannya, Adesso memiliki facelift lebih “ranggi” khasnya rekaan bumper depan dengan gril yang besar. Lebih kurang bumper klasik Move Casual DCN, tapi tanpa misai melintang di bawahnya.

BACA: KENARI L900 CASUAL YRV

Bumper belakang pun sama dan ia dilengkapi pelindung tambahan pada lampu fog yang seiras bentuknya dengan bahagian depan.

Pemburuan diteruskan untuk mendapatkan aksesori luar yang lain. Ada cermin sisi half moon, reflektor belakang, cermin cromax, garnish dan lining pintu, serta unit canvas top dari Mazda 121.

Paling menarik, bahagian skirt sisi yang memiliki sebuah logo clover leaf di hujungnya. Ingatkan logo orang kurang upaya Yotsuba Mark, rupanya logo Quadrifoglio dari Alfa Romeo 145.

Sisipan roda menyaksikan penggunaan rim Volk Racing TE37 berserta tayar Falken Sincera bersaiz 165/55R-14. Bagi mendapatkan rupa lebih sempurna, kedudukan kereta kini direndahkan dengan set suspensi dari PRS.

Bukan Pembimbing Rakan Sebaya kat sekolah Cikgu Ayu tu, tapi dari pengeluar suspensi kustom buatan tempatan. Kalau ada yang tak pernah dengar, maknanya kau tak cukup motorsport lagi la.

Bahagian dalam antara yang amat ditekankan Hadi dalam proses pembikinan kereta ini. Kadang-kadang betul juga. Buat luar cuma nak kasi orang tengok, tapi dalam untuk keselesaan diri sendiri.

Bermula dengan penggunaan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk Move L900 Casual, diikuti rangkaian aksesori lain yang bersesuaian. Ada stereng Momo Euro, sarung tempat duduk Daihatsu, jam tenggek Move L900, penutup speaker berlampu, deretan cermin Tiffana House, serta panel interior putih yang sangat meninggal harganya.

Aksesori Hello Kitty merupakan suatu kemestian buat mereka yang ada taman dalam hatinya. Banyak jugak yang dapat Hadi kumpulkan macam karpet, pengimbas ETC, lampu petunjuk bahan api Pacman, jam konsul serta set kunci utama.

Tidak ketinggalan rangkaian komponen audio jenama Carrozzeria seperti pemain utama, tweeter horn, speaker satelit pada pilar B, speaker bumbung, serta speaker cermin D yang makin rare.

Tidak seperti supercar Myvi, Kenari tidak dibina untuk tujuan prestasi. Enjin pun jenis parkinson tiga silinder. Baru pikir nak tekan, rpm dah meraung jejak lantai.

Bagi menyelesaikan hal ini, Hadi telah menggantikan enjin asal tersebut dengan enjin K3-VE dari Daihatsu Storia yang lebih lembut perginya. Itu pun tak buat apa. Lepas salin, sorok wayar sikit-sikit, terus jalan. Nak rembat ke mana kalau gearbox pun auto kan?

Move sudah memasuki generasi keenam dan ia masih diterima baik di pasaran Jepun. Pernah tengok model LA160 yang baru tu? Sebijik macam Alphard katik. Entah bilalah Perodua nak rebadge kembali model kereta kotak ni…

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button