
JETOUR T2 RAIH PENARAFAN KESELAMATAN 5-BINTANG ASEAN NCAP
JETOUR Malaysia mengesahkan bahawa model SUV lasak mereka, JETOUR T2, berjaya memperoleh penarafan keselamatan tertinggi lima bintang daripada ASEAN New Car Assessment Programme (ASEAN NCAP) berdasarkan protokol penilaian 2021–2025, dengan markah keseluruhan 86.50 mata.
SUV seberat 1,870 kg itu mencatat keputusan memberangsangkan dalam semua kategori utama ujian keselamatan, termasuk 37.17 daripada 40 mata bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 15.94 daripada 20 mata untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), 17.14 daripada 20 mata bagi Bantuan Keselamatan (SA) dan 16.25 daripada 20 mata dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).
Keputusan ini memperlihatkan keupayaan T2 untuk memenuhi piawaian keselamatan yang ketat, sekali gus mengukuhkan reputasi JETOUR sebagai pengeluar yang memberi tumpuan serius terhadap aspek perlindungan pengguna jalan raya di rantau ASEAN, termasuk pasaran Malaysia.

Pengiktirafan tersebut hadir seiring dengan perancangan pelancaran rasmi JETOUR T2 di Malaysia pada suku pertama tahun 2026.
Ia turut mencerminkan perubahan keutamaan pengguna masa kini yang bukan sahaja menilai reka bentuk dan prestasi, malah meletakkan keselamatan sebagai faktor utama dalam pemilihan kenderaan.
Dari sudut kelengkapan, JETOUR T2 didatangkan dengan enam beg udara, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta peringatan tali pinggang keledar untuk semua barisan tempat duduk.
Selain itu, ia juga menyokong ciri pengesanan penumpang belakang, Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD), perlindungan pejalan kaki, pengesanan kehadiran kanak-kanak dan pelekap kerusi kanak-kanak ISOFIX.
Bagi meningkatkan keselamatan aktif, SUV ini turut dilengkapi teknologi bantuan pemandu termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB) untuk pemanduan bandar dan antara bandar termasuk pengesanan pejalan kaki serta motosikal, Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan sistem Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Dengan pencapaian ini, JETOUR T2 dijangka tampil sebagai antara pilihan baharu yang kompetitif dalam segmen SUV di Malaysia, khususnya bagi pembeli yang mementingkan tahap keselamatan tinggi tanpa mengorbankan gaya dan teknologi moden.
- BACA: JUALAN MAZDA MIATA KEKAL KUKUH WALAUPUN SUDAH SEDEKAD DI PASARAN
- BACA: MERCEDES-BENZ CLA 250+ 2026 DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 792KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM295K
- BACA: XPENG G6 STANDARD RANGE KINI DI MALAYSA. 480KM SEKALI CAJ, BERMULA RM159K
- BACA: HONDA GUNA LOGO H BAHARU UNTUK EV DAN HIBRID!


