
KERETA JATUH DALAM LUBANG BENAM DI SINGAPURA, PEMANDU SELAMAT
Sebahagian Tanjong Katong Road South antara Mountbatten Road dan Lebuhraya East Coast Parkway (ECP) ditutup untuk kerja-kerja pembaikan selepas satu lubang benam terbentuk di kawasan itu.
Menurut agensi air negara PUB, lubang benam yang terbentuk sekitar 5 petang pada 26 Julai itu memaksa dua lorong jalan ditutup selepas sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang itu.
Pemandu kereta berkenaan, seorang wanita, telah diselamatkan dan dibawa ke hospital.
Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Goh Pei Ming, melawat lokasi kejadian pada pagi 27 Julai dan memberitahu wartawan bahawa keadaan tanah di situ didapati stabil menurut penilaian.

Satu rakaman video kejadian yang tular dalam talian menunjukkan beberapa pekerja menarik keluar pemandu kereta yang terperangkap dari lubang benam dan membawanya ke tempat selamat.
Pada pagi 27 Julai, ahli Parlimen Mountbatten, Goh Sze Kee, yang turut melawat lokasi, berkata wanita itu mengalami kesakitan otot dan keadaannya sedang dipantau pihak hospital.
Awal sebelum itu pada 27 Julai, alhnar Straits Times (ST) melaporkan air sedang dipam keluar dari lubang benam itu. Difahamkan, persiapan sedang dijalankan untuk mengeluarkan kereta yang terjatuh ke dalam lubang.
Beberapa penduduk memberitahu ST bahawa kerja-kerja penggalian besar sedang dijalankan di kawasan itu bagi pembinaan Laluan Thomson-East Coast (TEL), dan mereka bimbang jika kerja itu menjejaskan kestabilan tanah.
Penyelia tapak binaan, Pitchai Udaiyappan Subbiah, bersama rakan sekerjanya sedang bekerja di tapak kerja agensi air negara (PUB) berhampiran kondominium One Amber di Marine Parade apabila mereka terdengar bunyi yang kuat pada petang 26 Julai.
Mereka segera keluar dari tapak kerja dan melihat sebuah lubang benam di tengah Tanjong Katong South Road serta sebuah kereta hitam terjatuh ke dalamnya.
“Ada sebuah kereta, dan seorang wanita berada di dalamnya. Saya fikir, ‘Ada seseorang jatuh di dalam, saya mahu tolong,'” kata Pitchai, 46, menceritakan usaha menyelamat itu kepada ST berhampiran lokasi kejadian.
Beliau memberi arahan kepada tiga pekerja lain untuk melontarkan tali nilon kepada wanita itu supaya mereka dapat menariknya keluar.
Keseluruhan usaha menyelamat mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit, katanya yang bekerja dengan Ohin Construction, syarikat pembinaan yang sedang menjalankan projek pembetungan di kawasan itu.
“Salah seorang pekerja saya mahu turun untuk membantu, tetapi saya kata dia tidak akan dapat naik semula. Jadi, saya suruh mereka lemparkan tali terlebih dahulu,” katanya.
Penduduk sebelum itu berkata terdapat paip air pecah di kawasan berkenaan, pada malam sebelum lubang benam itu muncul.
Lubang benam tersebut kemudian dipenuhi air, tetapi ketika pekerja menyelamatkan pemandu tersebut, lubang itu dalam keadaan kering.
Tambah Pitchai, selepas mereka menarik wanita itu keluar, mereka bertanya jika ada orang lain di dalam kereta, dan wanita itu menjawab bahawa kad pengenalan serta telefon bimbitnya masih di dalam.
Rakaman di media sosial juga menunjukkan pekerja lain dengan segera meletakkan pengadang di sebelah lubang benam itu.
Pemandu itu kemudian dibawa ke hospital oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Sementara itu, kereta yang jatuh ke dalam lubang benam itu telah dikeluarkan dengan kren pada tengah hari 27 Julai, sedang kerja-kerja membaiki jalan dan membukanya semula kepada lalu lintas diteruskan. – Berita Harian
- BACA: VOLVO PADEL OPEN 2025 TUTUP TIRAI DENGAN GAH, BERJAYA TARIK LEBIH 400 PEMAIN
- BACA: FERRARI + SULTAN BRUNEI + PININFARINA =456GT VENICE
- BACA: TESLA MODEL Y VERSI MURAH MUNCUL – REKAAN LEBIH RINGKAS, TIADA SKRIN BELAKANG
- BACA: ISUZU D-MAX CATAT JUALAN 3,081 UNIT – PEGANG 16 PERATUS PASARAN PIKAP TEMPATAN







