
KIA PERKENAL EV2 – BATERI 61.0kWh, TAWAR JARAK GERAK 448KM
Kia terus mengembangkan barisan kenderaan elektriknya dengan memperkenalkan model terbaharu, EV2, sebuah SUV kompak elektrik yang didedahkan secara rasmi di Brussels Expo 2026 di Belgium.
Model ini merupakan kenderaan elektrik keenam yang dibangunkan khas oleh Kia. Dari segi dimensi, EV2 berukuran 4,060mm panjang, 1,800mm lebar dan 1,575mm tinggi.
Varian GT-Line pula tampil lebih sporty dengan bampar khas, kemasan sewarna badan, rim aloi 19-inci eksklusif serta perincian hitam berkilat pada bingkai pintu dan garis tingkap.
Untuk prestasi jarak perjalanan, versi jarak jauh dilengkapi bateri 61.0kWh yang mampu menawarkan sehingga 448km bagi setiap cas penuh mengikut piawaian WLTP apabila menggunakan rim 16-inci.

Kia turut menyertakan fungsi “EV Route Planner” yang membantu pemandu merancang laluan terbaik termasuk hentian pengecasan.
Bagi pengecasan pantas, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 30 minit untuk versi jarak jauh dan 29 minit bagi versi standard.
EV2 menyokong pengecasan AC 11kW dan 22kW, selain teknologi Plug and Charge yang membolehkan pengesahan serta pembayaran dilakukan secara automatik sebaik kabel pengecas disambungkan.
Dari sudut pemanduan, Kia menggunakan sistem stereng kuasa bermotor beroutput tinggi yang dipasang pada lajur stereng serta nisbah gear stereng yang dioptimumkan bagi memastikan kawalan lebih lincah, terutama di kawasan sempit dan persimpangan sibuk.

Gandar belakang jenis torsion beam turut dipadankan dengan sesendal hidraulik untuk mengurangkan hentakan akibat bonggol dan permukaan jalan tidak rata.
EV2 dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu termaju seperti bantuan mengelak perlanggaran hadapan, pengesanan tangan pada stereng, Lane Keeping Assist 2, Highway Driving Assist 2, bantuan parkir pintar jarak jauh serta sistem pemantauan dalam kabin (ICMU).
Sistem ICMU menggunakan kamera pada cermin pandang belakang untuk memantau keadaan penumpang secara masa nyata, mengesan pemanduan tidak fokus dan berhubung dengan sistem keselamatan seperti tali pinggang serta beg udara sekiranya berlaku kemalangan.
Bahagian dalaman pula menggunakan pemilih gear elektronik jenis “shift-by-wire” pada lajur stereng bagi memberikan ruang simpanan tambahan di konsol tengah.

Tempat duduk baris kedua boleh digerakkan, membolehkan ruang kaki ditambah daripada 885mm sehingga 958mm, dengan ruang kepala mencecah 973mm serta fungsi baring.
Ruang kargo ditawarkan bermula 362 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,201 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Bukaan but yang luas berukuran 1,094mm turut disertakan, selain ruang simpanan hadapan (frunk) 15 liter yang dikatakan pertama dalam kelasnya.
Antara ciri lain termasuk sistem audio premium Harman Kardon (pilihan), tema paparan digital berlesen seperti Disney, Marvel, Pixar, Star Wars dan National Geographic melalui Kia Connect Store, penstriman muzik, mod khas untuk haiwan peliharaan, fungsi Vehicle-to-Load dalaman dan luaran, port USB-C 100W, pembantu AI Kia, Digital Key 2 serta kemas kini perisian secara over-the-air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kia, Song Ho-sung, EV2 mungkin model elektrik paling kecil dalam barisan Kia, namun ia menawarkan pengalaman kabin yang menarik.
- BACA: JETOUR T2 RAIH PENARAFAN KESELAMATAN 5-BINTANG ASEAN NCAP
- BACA: JUALAN MAZDA MIATA KEKAL KUKUH WALAUPUN SUDAH SEDEKAD DI PASARAN
- BACA: MERCEDES-BENZ CLA 250+ 2026 DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 792KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM295K
- BACA: XPENG G6 STANDARD RANGE KINI DI MALAYSA. 480KM SEKALI CAJ, BERMULA RM159K


