Buletin

HYUNDAI DEDAH BAYANGAN PIKAP LASAK PERTAMA – BOULDER TIBA MENJELANG TAHUN 2030

Hyundai mula memperlihatkan hala tuju baharu dalam segmen kenderaan lasak apabila memperkenalkan konsep dikenali sebagai Boulder – sebuah model berimej SUV berkotak yang sebenarnya menjadi asas kepada pembangunan pikap pertama jenama itu.

Konsep ini bukan sekadar pameran reka bentuk, sebaliknya memberi gambaran jelas tentang platform baharu yang bakal digunakan untuk model pikap bersaiz sederhana, di mana ia dijangka muncul menjelang tahun 2030.

Platform sama turut dijangka menjadi asas kepada beberapa model lain, termasuk SUV berorientasikan off-road.

Dari segi penampilan, Boulder tampil dengan siluet dua kotak yang tegas, selari dengan bahasa reka bentuk terkini Hyundai dikenali sebagai “Art of Steel”. Rekaan ini menonjolkan imej rugged dan maskulin, sesuai dengan fokusnya sebagai jentera lasak.

Keupayaan off-road turut diberi penekanan. Rekaan badan berkotak membantu meningkatkan sudut mendaki, menuruni dan ‘breakover’, selain keupayaan meredah air yang lebih baik.

Ia juga dilengkapi tayar jenis mud-terrain bersaiz 37-inci, bersama tayar simpanan penuh yang dipasang di pintu belakang. Menariknya, pintu belakang hadir dengan sistem engsel berkembar yang boleh dibuka ke dua arah.

Masuk ke ruang kabin, Hyundai membawa pendekatan retro-futuristik. Tiada kluster meter tradisional digunakan, sebaliknya maklumat penting dipaparkan terus pada bahagian bawah cermin hadapan menerusi paparan head-up bersaiz penuh.

Papan pemuka pula menampilkan beberapa skrin kecil berbentuk segi empat bersama kawalan fizikal, menggantikan trend skrin besar tunggal.

Walaupun perincian trenkuasa belum diumumkan, platform baharu ini dijangka menyokong pelbagai pilihan termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid dan juga elektrik sepenuhnya.

Buat masa ini, pembangunan masih di peringkat awal, namun dengan sasaran penghujung dekad semakin hampir, lebih banyak maklumat mengenai pikap sulung Hyundai ini dijangka akan didedahkan dalam masa terdekat.

Google ads
Back to top button