
SUZUKI BURGMAN STREET 125 BAHARU KINI DENGAN SKRIN TFT, 8.3HP
Suzuki dengan rasminya memperkenalkan Burgman Street 125 baharu di India yang menyaksikan skuter kompak itu menerima beberapa ciri baharu.
Bagi tahun 2026, Burgman Street 125 kini tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih segar dan ciri yang dipertingkat.

Antara naik taraf terbesar adalah bahagian kerangka yang kini lebih ringan namun lebih kukuh dan menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik. Bahagian suspensi juga telah dinaik taraf termasuk wheelbase yang lebih panjang menghasilkan kestabilan yang lebih baik.
Reka bentuk tempat duduk kekal lebar dan panjang agar penunggang berasa selesa sepanjang perjalanan. Sementara itu, akses untuk mengisi minyak tidak lagi berada di bawah tempat duduk sebaliknya dipindahkan ke bahagian lampu belakang.

Lampu hadapan juga telah direka semula dan tidak lagi menampilkan unit yang bersambung dan kelihatan lebih tajam dan bersegi. Lampu hadapan dan belakang termasuk lampu isyarat kini menggunakan jenis LED.
Menariknya, Burgman Street 125 baharu ini juga telah dikemas kini dengan meter paparan TFT berukuran 4.2-inci dan sistem keyless.

Dalam pada itu, Burgman Street 125 ini kekal dikuasakan enjin satu silinder 124cc SOHC dengan sistem penyejuk udara yang berupaya menjana 8.3hp dan 10.2Nm. Enjin ini telah ditala semula bagi menghasilkan prestasi yang lebih baik di peringkat pertengahan kuasa.
Ruang letak barang bawah tempat duduk kini lebih luas dengan kapasiti 24.6 liter.
GALERI: SUZUKI BURGMAN STREET 125 2026




















