
HYUNDAI MOTOR MALAYSIA RASMI PUSAT PAMERAN BAHARU DI PETALING JAYA
Hyundai Motor Malaysia terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan apabila merasmikan pembukaan pusat pameran terbaharu di Petaling Jaya, hasil kerjasama bersama Palm Motor Sdn Bhd.
Pembukaan ini menjadi langkah strategik dalam usaha memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan Hyundai di seluruh negara, sekali gus mempertingkat pengalaman pelanggan berkonsepkan “smart premium”.
Terletak di lokasi strategik, pusat pameran seluas kira-kira 4,200 kaki persegi itu menampilkan barisan model terkini Hyundai seperti Hyundai SANTA FE, Hyundai TUCSON sertta Hyundai STARIA dalam suasana moden dan selesa.
Pengunjung turut dibantu oleh tenaga kerja terlatih bagi mendapatkan penerangan produk, khidmat nasihat serta sokongan jualan secara profesional.

Menurut Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee, pembukaan cawangan baharu ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan agresif syarikat.
“Kami menyasarkan sehingga 25 outlet di seluruh Malaysia menjelang 2026, dengan fokus kepada akses lebih luas, pengalaman pelanggan yang dipertingkat serta nilai yang lebih bermakna,” katanya.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan penyerahan unit pertama model Hyundai TUCSON 1.6T HEV kepada pelanggan.
Model TUCSON merupakan antara produk terlaris Hyundai di peringkat global dengan jualan melebihi 10 juta unit sejak diperkenalkan pada 2004.

Ia tampil dengan rekaan futuristik serta dipacu enjin hibrid Smartstream 1.6T-GDi yang menjanjikan kecekapan dan prestasi seimbang.
PROMOSI ISTIMEWA SEMPENA PEMBUKAAN
Bersempena pembukaan rasmi, pusat pameran ini akan menganjurkan “Grand Launching Bonanza” dari 10 hingga 12 April, jam 10 pagi hingga 6 petang.
Antara tarikan utama termasuk cabutan bertuah dengan hadiah bernilai sehingga RM10,000, pakej perjalanan percuma ke perlawanan bola sepak antarabangsa, serta pelbagai ganjaran lain seperti rebat tukar beli, promosi aksesori dan diskaun unit pameran.
Cawangan baharu ini terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya, dan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu (9 pagi – 6 petang), manakala Ahad serta cuti umum dari 10 pagi hingga 5 petang.




