Buletin

NISSAN SERENA e-POWER TERIMA LEBIH 1,300 TEMPAHAN, 250 UNIT TELAH DISERAH KEPADA PELANGGAN

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melaporkan momentum jualan yang memberangsangkan bagi model MPV terbaharunya, Nissan Serena e-POWER, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama keluarga di Malaysia.

Menariknya, model generasi baharu ini dibangunkan khusus bagi menangani masalah biasa yang sering dialami penumpang, iaitu mabuk perjalanan.

Dengan gabungan teknologi e-POWER dan kejuruteraan “Anti-Motion Sickness”, kenderaan ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, senyap serta selesa untuk semua penumpang.

Berbeza dengan MPV konvensional, sistem e-POWER menggunakan motor elektrik sepenuhnya untuk menggerakkan roda, manakala enjin hanya berfungsi sebagai penjana tenaga.

Pendekatan ini menghapuskan pertukaran gear, mengurangkan gegaran serta pergerakan mengejut yang sering menjadi punca rasa loya, terutama bagi penumpang di bahagian belakang.

Menurut ETCM, pembangunan model ini turut memberi tumpuan kepada faktor utama yang menyebabkan ketidakselesaan seperti olengan badan, pergerakan kepala dan ketidakseimbangan visual.

Hasilnya, sistem suspensi dan stereng telah ditambah baik bagi mengurangkan hayunan, manakala rekaan aerodinamik membantu kestabilan ketika bergerak.

Selain itu, tingkap yang lebih besar memberi pandangan luar yang lebih jelas sekali gus mengurangkan konflik visual.

Sementara, tempat duduk “Zero Gravity” di barisan hadapan dan kedua direka untuk menyokong postur badan secara semula jadi, sekali gus mengurangkan pergerakan kepala yang boleh mencetuskan rasa pening.

Ruang kabin yang lebih senyap turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana tenang sepanjang perjalanan.

Ciri seperti e-Pedal Step pula membolehkan pemanduan menggunakan satu pedal sahaja, sekali gus mengurangkan keletihan terutama dalam keadaan trafik sesak atau perjalanan jauh seperti pulang ke kampung.

Setakat ini, model tersebut mencatatkan lebih 1,300 tempahan, dengan kira-kira 250 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.

Orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman pemanduan yang ditawarkan disaran mengunjungi bilik pameran Nissan atau menghadiri siri jelajah yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Sebagai galakan tambahan, ETCM masih menawarkan rebat pengenalan sebanyak RM5,000 serta pakej aksesori percuma bernilai RM8,000 bagi pembeli terawal, tertakluk kepada terma dan syarat.

Google ads
Back to top button