Buletin

INI MAZDA CX-3 FACELIFT – TETAPI KENAPA NAMPAK SAMA SAHAJA?

Mazda CX-3 adalah sebuah SUV kompak yang bukan memenuhi citarasa ramai. Ia hanya untuk golongan pembeli tertentu yang tidak kisahkan ruang dalaman kecil.

Jika ada yang merasakan ruang belakang Honda HR-V sudah kecil, sila cuba Mazda CX-3 pula. Model-model lain seperti CX-5, Mazda3 dan Mazda2 juga begitu, kebanyakannya lebih kecil dari pesaing dalam segmen sama.

Tidak pasti kenapa Mazda memilih jalan tersebut, mungkin kerana gaya semata-mata.

Bila bercakap tentang gaya, memang diakui produk buatan Mazda tidak sama dengan keluaran pesaing dari Jepun lain. Ia berada dalam kelas tersendiri dan jika diukur dari segi sambutan, Mazda nampak sukses dengan jalan yang dipilihnya.

Satu lagi perihal tentang Mazda ialah, mereka hanya mengubah sedikit sahaja penampilan luaran dan dalaman model-model facelift. Jika tidak diberitahu kepada umum, mungkin ramai yang tidak menyedarinya.

Sebagai contoh, Mazda CX-3 pasaran Eropah yang telah dikemaskini pada Jun lalu. Sekali pandang memang sama, 35 kali pandang pun tetap sama.

Mazda CX-3 mula dipasarkan di Eropah pada Jun 2015 dan tahun ini adalah masa yang sesuai untuk model facelift. Berdasarkan apa yang diberitahu Mazda, perubahan model facelift ini banyak tertumpu kepada ciri-ciri yang tidak boleh dilihat mata kasar.

Antaranya ialah naik taraf teknologi sistem keselamatan i-ACTIVSENSE dan enjin diesel SKYACTIV-D, pengenalan G-Vectoring Control (GVC), sedikit perubahan pada suspensi dan tambahan penebat bunyi untuk suasana kabin lebih senyap.

Satu perkara menarik ialah walaupun enjin diesel popular di Eropah tetapi sebaliknya yang berlaku pada Mazda CX-3. Model 2.0 liter petrol lebih popular apabila 80 peratus pembelian adalah untuk varian ini. Di Eropah, terdapat dua pilihan kuasa enjin 2.0 petrol iaitu 120ps dan 150 ps.

Varian enjin 2.0 boleh dipadankan sama dengan transmisi manual SKYACTIV manual atau automatik. Enjin 2.0 120ps dipacu oleh sistem 2WD manakala enjin 2.0 150ps pula eksklusif untuk pacuan kesemua roda (AWD).

Satu lagi perkara menarik tentang Mazda ialah jarang sekali ia ditawarkan dengan kit badan. Suatu yang berbeza jika dibandingkan dengan Honda, Toyota atau Nissan.

Reka bentuk Mazda yang anggun dilihat tidak memerlukan aksesori tambahan pun sebenarnya. Ia seperti Ferrari atau Lamborghini. Dan jika sebuah Mazda dipasangkan dengan kit badan OEM, biasanya ia tampil manis dan sederhana.

Ini pula Mazda CX-3 GT yang tampil dengan kit badan penuh. Kit tersebut sangat ringkas dan ia terdiri daripada spoiler bumbung, skirt depan, sisi dan bahagian belakang yang ditambah lekapan berwarna perak. Lebih menyerlah ialah roda aloi saiz 18 inci.

Mazda CX-3 GT Sport hanya dikeluarkan dalam edisi terhad sebanyak 500 unit sahaja dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Ceramic Metallic atau Meteor Grey Mica.

Berbalik kepada cara Mazda yang tidak berapa mengusik sangat penampilan luaran untuk versi facelift, sebenarnya ia turut juga dilakukan oleh pengeluar lain.

Tidak perlu pergi jauh pun, Proton Iriz facelift yang dilancarkan beberapa bulan sebelum ini sama sahaja pada bahagian luaran. Yang berbeza hanyalah permainan warna. Tetapi isi dalamnya memang banyak diubah sehingga cagak enjin pun tidak sama dengan model dahulu.

Fokus utama Mazda atau Proton ialah supaya model facelift tampil dengan pakej yang diperhalusi. Melainkan reka bentuk kena ‘bahan’ teruk dengan pengguna, baru lah ia ditukar secara major seperti Proton Savvy dahulu.

BACA: MAZDA PATENKAN ENJIN BAHARU – 2 PENGECAS TURBO, 1 UNIT SUPERCHARGER & PACUAN RODA BELAKANG

BACA: BENARKAH MAZDA SUDAH MENEMUI “TEKO ALADDIN” YANG DICARI-CARI OLEH SEMUA PENGELUAR LAIN?

 

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”20″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button