
MAZDA HENTIKAN CX-70, CX-90 KINI DITAWARKAN PILIHAN DUA ATAU TIGA BARIS KERUSI
Mazda bakal menyusun semula barisan SUV bersaiz sederhana bagi tahun model 2027 dengan menghentikan CX-70 dan menggabungkan penawarannya ke dalam keluarga CX-90 yang kini hadir dengan pilihan dua atau tiga baris kerusi.
Langkah itu membolehkan Mazda menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan menerusi satu model utama, sekali gus mengurangkan pertindihan antara dua SUV yang mempunyai kedudukan hampir sama dalam pasaran.
Bagi model tahun 2027, CX-90 dengan konfigurasi dua baris kerusi hanya ditawarkan untuk varian 3.3 Turbo Premium Sport dan 3.3 Turbo S Premium Sport. Varian lain mengekalkan susun atur tiga baris kerusi.
Harga CX-90 bermula daripada AS$41,345 (RM168,688), termasuk caj penghantaran, bagi varian 3.3 Turbo Select.
Sementara itu, varian dua baris 3.3 Turbo Premium Sport ditawarkan pada harga AS$48,525 (RM197,982), manakala 3.3 Turbo S Premium Sport bermula pada AS$55,185 (RM225,955).

Kedua-dua varian dua baris itu turut dilengkapi tempat duduk baris kedua dengan fungsi lipatan automatik satu sentuhan bagi memudahkan akses ke ruang kargo yang lebih luas.
Dari segi rangkaian kuasa, CX-90 masih menawarkan enjin enam silinder sebaris 3.3 liter turbo dengan dua tahap prestasi. Enjin 3.3 Turbo menghasilkan 280hp dan tork 450Nm, manakala versi Turbo S mampu menjana sehingga 340hp dan tork 500Nm apabila menggunakan petrol premium.
Kedua-dua enjin dipadankan dengan sistem hibrid ringan M-Hybrid Boost 48 volt, transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda sebagai kelengkapan standard.
Bagi varian Turbo S, keupayaan menunda mencapai sehingga 2,268 kilogram apabila dilengkapi aksesori penundaan tulen Mazda yang bersesuaian.
Mazda turut mengekalkan pilihan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) yang menggabungkan enjin empat silinder 2.5 liter aspirasi semula jadi, motor elektrik dan bateri berkapasiti 17.8kWj.
Sistem itu menghasilkan kuasa gabungan 323hp dengan tork 500Nm serta menawarkan jarak pemanduan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya sehingga kira-kira 43 kilometer.
Selain perubahan konfigurasi tempat duduk, semua CX-90 2027 menerima kemas kini pada komponen suspensi belakang, bagi meningkatkan keselesaan ketika melalui permukaan jalan tidak rata.
Mazda turut menambah kelengkapan mengikut varian. CX-90 3.3 Turbo Preferred kini dilengkapi rel bumbung sebagai standard, manakala Premium Sport menerima sistem Alexa Built-In.
Varian Premium Plus pula mendapat sistem navigasi dalam talian Mazda dengan sokongan kemas kini perisian melalui udara (OTA).
Pilihan warna badan baharu termasuk Navy Blue Mica dan Aero Gray Metallic, manakala model dua baris turut boleh didapati dengan warna Melting Copper Metallic dan Zircon Sand Metallic.
Dari segi kelengkapan, varian asas 3.3 Turbo Select hadir dengan rim 19-inci, pintu but berkuasa, penyaman udara tiga zon, skrin infotainmen 10.25-inci serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Varian lebih tinggi menawarkan rim 21-inci, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanasan dan pengudaraan, pengecasan tanpa wayar serta skrin sentuh 12.3-inci.
Varian Premium Plus pula menerima kemasan kulit Nappa, lampu utama adaptif dan sistem pemantauan pandangan 360 darjah.
Bagi 3.3 Turbo S Premium Plus, Mazda menyediakan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan kerusi kapten di baris kedua, selain kemasan dalaman premium dan sistem pemperibadian pemandu.
Penyusunan semula ini dijangka memudahkan pelanggan memilih SUV Mazda mengikut keperluan ruang dan keselesaan, tanpa perlu membandingkan dua model yang hampir serupa.
Pada masa sama, langkah itu memberi peluang kepada CX-90 untuk memainkan peranan lebih besar dalam segmen SUV keluarga Mazda.








