Artikel Pilihan

RAHSIA KERETA MAZDA CUN – GUNA TANAH LIAT

Dalam dunia automotif moden yang semakin bergantung kepada komputer, kecerdasan buatan, realiti maya dan pemodelan digital, Mazda masih berpegang kepada satu kaedah tradisional yang mungkin kelihatan agak pelik bagi sesetengah orang.

Mazda masih menggunakan model tanah liat atau clay model dalam proses mereka bentuk kereta baharu dan kaedah tersebut sebenarnya memainkan peranan penting dalam menghasilkan rupa Mazda yang dikenali dengan reka bentuk Kodo.

Proses mereka bentuk sebuah Mazda bermula seperti kebanyakan pengeluar lain iaitu dengan lakaran samaada di kertas atau rekaan komputer. Pereka akan menghasilkan pelbagai idea sebelum konsep yang paling sesuai dipilih untuk dikembangkan menjadi bentuk tiga dimensi.

Walaupun teknologi digital digunakan secara meluas dalam proses ini, Mazda tidak berhenti setakat model yang dipaparkan pada skrin komputer. Sebaliknya, reka bentuk tersebut turut diterjemahkan kepada model fizikal menggunakan tanah liat khas untuk industri automotif.

Model ini membolehkan para pereka melihat bentuk kereta secara sebenar dari pelbagai sudut, sesuatu yang tidak dapat diberikan sepenuhnya oleh paparan digital. Bagi Mazda, aspek paling penting ialah bagaimana cahaya berinteraksi dengan permukaan badan kereta.

Permukaan sebuah kereta mungkin kelihatan sempurna pada skrin komputer, tetapi apabila ia dibentuk secara fizikal dan diletakkan di bawah pencahayaan sebenar, kelemahan pada lengkungan atau perubahan pada permukaan badan boleh menjadi lebih jelas.

Pereka boleh berjalan mengelilingi model tersebut dan melihat bagaimana pantulan cahaya bergerak dari satu bahagian ke bahagian lain. Perubahan kecil pada bentuk lengkungan, bahu badan atau garis permukaan boleh menghasilkan perbezaan besar terhadap rupa keseluruhan kereta.

Pendekatan ini sangat penting kepada falsafah reka bentuk Kodo – Soul of Motion yang digunakan Mazda. Mazda mahu menghasilkan kenderaan yang kelihatan seolah-olah sedang bergerak walaupun ketika ia tidak bergerak.

Untuk mencapai kesan tersebut, reka bentuk perlu mempunyai permukaan yang ringkas tetapi pada masa sama mampu menghasilkan permainan cahaya dan bayang-bayang yang menarik. Proses menghasilkan model clay juga bukan sekadar mengambil tanah liat dan memahatnya seperti membuat arca.

Struktur asas model biasanya dibentuk terlebih dahulu menggunakan bahan seperti foam sebelum lapisan tanah liat khas diletakkan di atasnya. Tanah liat tersebut boleh dipanaskan supaya menjadi lebih lembut dan mudah dibentuk sebelum permukaannya diperhalusi sehingga mencapai bentuk yang dikehendaki.

Di sinilah kemahiran manusia masih memainkan peranan besar. Mazda mempunyai pakar pemodelan yang dikenali sebagai Takumi, iaitu tukang ukir berkemahiran tinggi yang mempunyai pengalaman khusus dalam menghasilkan dan menyempurnakan model fizikal.

Mereka perlu memahami bukan sahaja bentuk yang dikehendaki oleh pereka, tetapi juga bagaimana permukaan tersebut akan kelihatan apabila terkena cahaya dari pelbagai arah. Namun Mazda bukanlah sebuah syarikat yang menolak teknologi moden.

Mazda tetap menggunakan modelan komputer, CAD, realiti maya dan pelbagai teknologi digital tetap digunakan untuk mempercepatkan pembangunan serta memudahkan kerjasama antara pereka dan jurutera. Cuma bagi Mazda, teknologi tersebut tidak semestinya perlu menggantikan kaedah tradisional sepenuhnya.

Sebaliknya, kedua-duanya digunakan secara bersama dimana komputer membantu menghasilkan dan mengubah bentuk dengan pantas, manakala model fizikal memberikan peluang kepada pereka untuk menilai reka bentuk dalam dunia sebenar.

Pendekatan ini juga menjadi antara sebab mengapa reka bentuk Mazda kelihatan agak berbeza berbanding sesetengah pengeluar lain. Mazda tidak terlalu bergantung kepada garis badan yang kompleks atau elemen hiasan yang berlebihan.

Sebaliknya, mereka banyak bermain dengan proporsi, lengkungan dan permukaan badan untuk menghasilkan reka bentuk yang bersih tetapi mempunyai karakter.

Dalam era ketika kecerdasan buatan semakin mampu menghasilkan ribuan idea reka bentuk dalam masa yang singkat, keputusan Mazda untuk terus menggunakan tanah liat mungkin kelihatan seperti kembali ke zaman lama. Namun bagi pengeluar itu, sentuhan manusia masih mempunyai nilai yang sukar digantikan oleh teknologi.

Google ads
Back to top button