
MAZDA MAHU KEKALKAN “JIWA” MIATA, TAPI INI MUNGKIN VERSI ICE TERAKHIR…
Mazda memberi bayangan bahawa generasi baharu MX-5 Miata mungkin menjadi model terakhir ikonik itu yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE), sekali gus menandakan penghujung era bagi roadster ringan yang terkenal dengan pengalaman pemanduan analog dan transmisi manualnya.
Walaupun generasi semasa “ND” sudah melebihi usia sedekad, model itu masih kekal relevan dalam pasaran global kerana konsepnya yang ringkas, ringan dan menyeronokkan untuk dipandu.
Mazda sebelum ini turut mengesahkan bahawa pengganti baharu MX-5 masih memerlukan beberapa tahun sebelum diperkenalkan secara rasmi.
Menurut laporan media automotif antarabangsa, Ketua Pegawai Eksekutif Mazda Australia, Vinesh Bhindi, memaklumkan seorang eksekutif Mazda yang melawat negara itu awal tahun ini memberi petunjuk bahawa generasi kelima MX-5 berkemungkinan menjadi versi terakhir menggunakan enjin petrol.

Mazda dilapor sedang membangunkan generasi baharu MX-5 dengan kod “NE”, yang dijangka menggunakan enjin 2.5 liter daripada keluarga enjin Skyactiv-Z generasi akan datang.
Menariknya, enjin itu dikatakan masih mengekalkan aspirasi semula jadi tanpa turbo dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta sistem pacuan roda belakang.
Walaupun kapasiti enjin lebih besar berbanding model semasa, Mazda mahu memastikan MX-5 baharu kekal ringan dengan sasaran berat bawah 1,000 kilogram.
Sasaran itu dianggap mencabar memandangkan pengeluar kini perlu menambah pelbagai sistem keselamatan moden serta teknologi pematuhan emisi lebih ketat.
Terdapat kemungkinan model itu akan menerima bantuan elektrifikasi ringan seperti sistem mild-hybrid bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida, namun Mazda masih belum mengesahkan perkara tersebut.
Berdasarkan perkembangan semasa, enjin Skyactiv-Z hanya dijangka muncul pada model produksi sekitar penghujung 2027 menerusi SUV CX-5 hibrid. Ini bermakna MX-5 generasi baharu kemungkinan besar hanya akan diperkenalkan sekitar 2028 atau lebih lewat.
Jika benar menjadi Miata terakhir dengan enjin petrol, model itu berpotensi menjadi simbol penutup kepada era kereta sport kompak tradisional Mazda sebelum industri automotif beralih sepenuhnya ke arah elektrifikasi.







