NORWAY ADA JALAN RAYA TERBAIK DAN PEMANDANGAN CANTIK. TETAPI KENAPA TIADA SIAPA BERANI MEREMPIT DI SANA?
Norway mempunyai antara jalan terbaik di dunia serta kaya dengan pemandangan yang menarik. Bahkan, pada musim sejuk, jalan raya di Norway diselenggara dengan baik, selain mempunyai banyak lorong khas untuk basikal.
Hal menarik menngenai Norway adalah semua barang yang anda beli tertakluk kepada cukai nilai tambah (VAT). VAT adalah perkara biasa di seluruh dunia tetapi di Norway, VAT yang dikenakan mencecah 25 peratus.
Cukai tersebut turut dikenakan ke atas kenderaan. Secara amnya, pembeli terpaksa menambah sebanyak satu pertiga daripada harga jualan kereta. Ini menjadi sebab utama kenapa kenderaan elektrik (EV) sangat popular di Norway, ia dikecualikan daripada cukai.
Kos bahan api menjadi satu lagi faktor utama populariti EV. Walaupun harga bahan api menurun dengan ketara di Norway sejak beberapa bulan lalu, pengguna di sana masih perlu membayar lebih AS$9 (RM43) bagi setiap gelen minyak.
Buat pengiraan dan anda akan melihat bahawa memandu kereta sports di Norway menjadi sangat mahal. Ini tidak termasuk kalau tidak sengaja melanggar undang-undang.
Sebagai permulaan, had laju di Norway biasanya rendah. Paling pantas pemandu boleh memecut adalah pada 110km/j sahaja. Di luar bandar, had laju yang ditetapkan adalah 80km/j.
Jika anda didapati memandu pada kelajuan 122km/j dalam zon 100km/j, anda akan dikenakan denda sebanyak 2,300 NOK (RM1,049). Kalau melebihi 36km/j daripada had ditentukan, bersedia untuk membayar denda 11,600 NOK (RM5,290)!
Sudah tentu kamera perangkap kelajuan dan polis bersedia untuk mengesan dan menahan pemandu membawa melebihi had ditetapkan. Tidak cukup dengan itu, lesen memandu juga bakal digantung selain denda wang tunai.
Penggantungan lesen untuk kesalahan yang nampak kecil adalah perkara biasa di Norway. Tempoh penggantungan lesen bergantung pada situasi kesalahan, tetapi tiga bulan adalah minimum. Tiga tahun bukan perkara biasa, tetapi ia boleh menjadi lebih teruk.
Sekiranya ditangkap melanggar had laju 46km/j di bandar, pemandu akan dipenjara sekurang-kurangnya 18 hari. Jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan sebarang kecederaan, mereka mungkin dipenjara selama enam tahun.
Satu semakan kes yang jarang berlaku ialah pada 2017, di mana seorang lelaki ditangkap memandu 136km/j dalam zon 70km/j. Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara 21 hari dan lesen digantung selama 22 bulan.
Defendan merayu dengan mendakwa kereta Suzuki Grand Vitara diesel miliknya tidak mampu mencapai kelajuan itu. Kenderaan tersebut diperiksa secara teliti oleh seorang mekanik.
Suzuki itu menjalani ujian trek dengan kelajuan maksimum dan didapati hanya mampu mencapai 111km/j. Akhirnya, hukuman dan penggantungan lesen digugurkan, tetapi dia masih perlu membayar denda kira-kira AS$650 (RM3,702).