Buletin

VOLKSWAGEN BAKAL KEMBALI GUNA BUTANG FIZIKAL PADA STERENG

Volkswagen bakal kembali menggunakan semula butang fizikal pada stereng untuk model akan datang.

Dalam catatan di forum media sosial LinkedIn, bos global Volkswagen, Thomas Schäfer berkata, “Kami akan membawa semula stereng butang fizikal.”

Dilancarkan pada 2019, kawalan butang jenis sentuh pada stereng yang juga dikenali sebagai butang sentuh haptik atau kapasitif, membenarkan pemandu melaraskan fungsi seperti kelantangan sistem bunyi, mod dash digital dan kelajuan atau jarak kawalan pemanduan.

Namun, butang sentuhan pada stereng Volkswagen telah dikritik kerana sukar dikendalikan sama ada ia terlalu sensitif atau tidak cukup pantas untuk bertindak balas.

Volkswagen Australia memperkenalkan butang sentuhan itu pada tahun 2020 apabila Touareg R tiba di bilik pameran tempatan. Ciri sama kini ada pada Golf R-Line/GTI/R, Arteon, Tiguan R-Line/R, T-Cross R, T-Roc R-Line/R dan Polo GTI.

Volkswagen masih belum mengesahkan bilakah butang stereng fizikal akan kembali digunakan, meskipun trak pikap baharu Amarok yang dibangunkan bersama Ford telah dilancarkan dengan butang fizikal. Manakala Volkswagen Golf generasi lapan yang dirakam oleh lensa kamera di Jerman menunjukkan sterengnya menggunakan butang fizikal.

Walaupun kawalan stereng akan ditukar kepada butang fizikal, namun masih tidak jelas mengenai butang kawalan untuk suhu sama ada ia turut ditukar atau tidak.

Pada Ogos 2022, laporan dari Jerman mencadangkan Golf yang dikemas kini akan memperoleh instrumen digital dan skrin infotainmen lebih besar, iaitu 10.4 dan 12.9 inci.

Google ads
Back to top button