RISIKO TERBAKAR, SYARIKAT NORWAY HARAMKAN EV NAIK FERI
Syarikat perkapalan Norway kini tidak lagi membenarkan kenderaan elektrik daripada diangkut atas kapal kargo dan feri, berikutan risiko kebakaran yang mungkin berlaku.
Syarikat Havila Krystruten menjelaskan hanya penumpang, barangan dan kereta dengan enjin pembakaran dalaman sahaja yang dibenarkan naik ke atas kapal.
Kebimbangan ini dikatakan berpunca daripada insiden kebakaran yang melanda kapal kargo Felicity Ace di Lautan Atlantik, tahun lalu.
Biarpun kebanyakan kajian mendedahkan kenderaan berenjin pembakaran dalaman lebih cenderung untuk terbakar berbanding EV, namun Havila Krystruten memberikan alasan keupayaan mereka yang terbatas untuk menangani kebakaran yang disebabkan oleh bateri.
Pengarah Urusan Havila Krystruten, Bent Martini berkata, “ia adalah satu penilaian keselamatan yang tulen, dan kesimpulan analisis risiko menunjukkan kami mampu untuk menangani kebakaran yang disebabkan oleh kenderaan fosil.
“Namun, kebakaran yang disebabkan oleh EV, hibrid atau hidrogen memerlukan bantuan penyelamat luar dan mampu meletakkan anak kapal dan kapal itu sendiri dalam keadaan berisiko.
Langkah terbaharu ini dilihat mampu menyebabkan kesukaran buat rakyat Norway, memandangkan negara itu merupakan salah satu negara pengguna kenderaan elektrik yang terbesar di dunia.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat perkapalan Hurtigruten akan terus menawarkan perkhidmatan membawa kenderaan peribadi atas kapalnya tanpa mengira apa jenis trenkuasa.