Buletin

BERTUMBUK SEBAB JALAN SESAK DI SRI GOMBAK

Kesesakan lalu lintas akibat kenderaan yang menghalang laluan dipercayai menjadi punca pergaduhan dua pemandu di persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gombak 2, Batu Caves, Selangor semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan pergaduhan dua individu di lokasi berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.

“Kami menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang juga salah seorang pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 2.30 petang semalam, di persimpangan SK Sri Gombak 2, Batu Caves,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Ariffin berkata, pergaduhan itu bermula dengan pertengkaran mulut antara pengadu dengan seorang pemandu kenderaan ekoran kesesakan lalu lintas di persimpangan berkenaan.

“Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada kenderaan pengadu yang menghalang kenderaan suspek.

“Justeru itu, kami meminta kerjasama orang ramai yang melihat dan membantu meleraikan pergaduhan itu supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nurul Syazleeyana Atarbacha di talian 03-61262222 atau 018-9636942 bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button