Buletin

JUARA CABARAN FUELWATCH 2015 BERSAING DI THAILAND

Volvo Trucks (Volvo) yang beroperasi di bawah Volvo Malaysia baru-baru ini mengumumkan pemenang Cabaran Fuelwatch Malaysia.

Volvo-Fuelwatch-winner-mekanika (4)

Acara tahunan Cabaran Fuelwatch Volvo Trucks diadakan sebagai satu bentuk latihan dan pertandingan buat para pemandu trak. Ia menawarkan banyak kemahiran dan maklumat, sekali gus melengkapkan pemandu-pemandu ini dengan keupayaan untuk mendapatkan kadar penggunaan   bahan api yang terbaik.

Pusingan kelayakan siri jelajah yang melibatkan beberapa buah bandar itu bermula pada awal April lalu. Akhirnya, Nor Rahmat Bin Abd Talib dari Prifaria Sdn. Bhd. Prai dinobatkan sebagai pemenang setelah berjaya menewaskan 17 orang semi finalis lain.

Dalam pertandingan yang sudah memasuki tahun keenam itu, cabaran pada tahun ini menyaksikan jumlah penyertaan yang cukup memberangsangkan iaitu lebih 1,000 orang pemandu, meningkat berbanding 800 orang tahun lalu.

Volvo-Fuelwatch-winner-mekanika (2)

Mencatatkan skor keseluruhan tertinggi berdasarkan kepada ujian-ujian teoritikal sepanjang pusingan kelayakan berlangsung, Nor Rahmat merupakan salah seorang daripada 18 orang pemandu trak yang berjaya layak ke peringkat separuh akhir dan akhir.

Pada peringkat tersebut, semua peserta perlu bersaing dalam cabaran memandu melibatkan perjalanan sejauh 45km. Sepanjang ujian penjimatan bahan api pada waktu sebenar itu,Nor Rahmat berjaya mencatat penggunaan minyak paling rendah – memandu jarak 2.83 kilometer bagi setiap satu liter minyak ketika membawa beban seberat 20 tan menggunakan Volvo FM 440 yang dilengkapi teknologi i-shift.

Mengekori rapat di belakang beliau ialah Merzuki Jusoh dari Prifaria Sdn. Bhd., Terengganu sebagai pemenang tempat kedua. Manakala Md Idwan Shah Parais Abdullah dari Kota Mas Oil Sdn Bhd, Kota Kinabalu sebagai pemenang tempat ketiga.

Volvo-Fuelwatch-winner-mekanika (3)

Mereka membawa pulang baucar BSN berjumlah RM3,000 (tempat kedua) dan baucar BSN RM2,000 (tempat ketiga) serta sebuah trofi Fuelwatch.

Sebagai juara kebangsaan, Nor Rahmat akan mewakili Malaysia dalam pertandingan akhir APAC yang dijadual diadakan di Hua Hin, Thailand bermula esok hingga 18 September 2015. Di sana, beliau bakal bersaing dengan para pemenang dari Australia, New Zealand, Thailand, Indonesia, Korea, Singapura dan banyak lagi.

“Pertandingan ini bukan sekadar menguji kemahiran pemanduan yang menjimatkan bahan api dan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar. Malah ia turut melibatkan pengurusan yang teratur, pengoptimuman kenderaan, pemantauan prestasi, langkah-langkah keselamatan dan penyelenggaraan trak sebelum ia digunakan.

“Semua ini bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan bahan api secara signifikan, tetapi dapat mengurangkan risiko kerosakan dan lebih penting lagi, memastikan keselamatan pemandu trak,” Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mats Nilsson.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button