Artikel Pilihan

SAINGAN CHINA & TARIF AMERIKA, VOLVO TAMAT KHIDMAT 2500 PEKERJA

Volvo Cars merancang untuk mengurangkan sekitar 2,500 pekerja di seluruh dunia selepas mencatatkan kerugian operasi yang besar pada suku ketiga 2026. Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pelan pemulihan kewangan Volvoketika berdepan persaingan sengit daripada pengeluar China, permintaan kenderaan elektrik yang tidak menentu serta tekanan tarif di Amerika Syarikat.

Menurut laporan Reuters pada 23 Oktober 2026, dianggarkan 2,000 melibatkan pekerja di Sweden, manakala baki 500 melibatkan operasi di negara lain. Pengurangan ini bersamaan kira-kira enam peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Volvo Cars dan dilaksanakan melalui penamatan kontrak perunding, pengurangan tenaga kerja secara semula jadi serta pakej pemberhentian terpilih kepada pekerja.

Keputusan tersebut dibuat selepas Volvo Cars melaporkan kerugian operasi terlaras sebanyak 3.7 bilion krona Sweden (SEK) bagi suku ketiga 2026, berbanding keuntungan sebanyak SEK5.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan syarikat turut merosot kepada SEK66.9 bilion berbanding SEK86.4 bilion setahun sebelumnya, manakala aliran tunai bebas mencatatkan aliran keluar sebanyak SEK8.9 bilion, hampir dua kali ganda berbanding SEK4.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan rasmi mengenai keputusan kewangan suku ketiga, Volvo Cars menjelaskan bahawa keadaan pasaran di China dan Amerika Syarikat menjadi antara faktor utama yang menjejaskan prestasi syarikat. Di China, pendapatan Volvo Cars merosot hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan persaingan yang semakin sengit daripada jenama tempatan serta tekanan harga dalam segmen premium.

Pada masa sama, operasi di Amerika Syarikat turut terjejas akibat tarif dan penarikan insentif pengguna bagi kenderaan elektrifikasi. Faktor tersebut memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat, selain kesan perubahan perundangan berkaitan kredit pelepasan emisi kenderaan serta peningkatan kos bahan mentah.

Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson, menyifatkan suku ketiga 2026 sebagai tempoh yang sangat mengecewakan, mencerminkan keadaan perniagaan yang jauh lebih mencabar berbanding jangkaan awal. Selain pengurangan tenaga kerja, Volvo Cars menyasarkan penjimatan tambahan sebanyak SEK5 bilion melalui pengurangan perbelanjaan tidak langsung dan kos berubah.

Penjimatan tersebut dilaksanakan sebagai tambahan kepada program pengurangan kos yang telah diumumkan sebelum ini, dengan kesan kewangan penuh dijangka direalisasikan menjelang akhir 2027. Volvo turut menyasarkan perbelanjaan tidak langsung keseluruhannya menjadi hampir 25 peratus lebih rendah berbanding tahun kewangan 2024.

Langkah terbaharu ini menyusuli pengumuman pengurangan kira-kira 3,000 pekerjaan yang dibuat pada 2025, ketika Volvo Cars memperkenalkan pelan penjimatan kos dan memperkukuh kerjasama teknologi dengan syarikat induknya, Geely. Namun, Volvo masih berdepan cabaran untuk mengekalkan keuntungan ketika permintaan kenderaan elektrik berubah-ubah dan pengeluar China menawarkan model dengan harga lebih kompetitif.

Di China, Volvo Cars kini memberi keutamaan kepada keuntungan berbanding penguasaan bahagian pasaran dan tidak mahu terlibat secara agresif dalam perang harga dengan pengeluar tempatan. Volvo juga merancang memperkukuh pembangunan produk khusus mengikut keperluan pasaran serantau melalui kerjasama lebih erat dengan Geely, termasuk penggunaan teknologi dan perisian yang dibangunkan untuk memenuhi cita rasa pengguna China.

Walaupun berdepan tekanan kewangan, Volvo Cars meneruskan rancangan pengembangan produk dengan sasaran memperkenalkan 13 model baharu menjelang akhir 2030. Di Amerika Syarikat, syarikat itu mempercepatkan pengeluaran versi hibrid plug-in jarak jauh bagi XC60 dan XC90, selain merancang pengeluaran tempatan XC60 di Charleston pada suku pertama 2027.

Bagi pasaran China pula, Volvo Cars akan memperkenalkan model yang dibangunkan khusus untuk rantau berkenaan melalui kerjasama dengan Geely. Prestasi kewangan yang lemah turut memberi kesan kepada pasaran saham. Reuters melaporkan saham Volvo Cars jatuh sekitar 24 peratus pada 23 Oktober selepas keputusan suku ketiga diumumkan, mencecah paras terendah rekod pada ketika itu.

Perkembangan tersebut mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap prospek syarikat, khususnya berhubung permintaan kenderaan elektrik, tekanan harga dan keberkesanan pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan.

Google ads
Back to top button