
JUALAN KENDERAAN ELEKTRIK VOLVO NAIK 14 PERATUS
Volvo Car mencatat pertumbuhan jualan kenderaan elektrik (EV) untuk bulan kesembilan berturut-turut apabila jualan model EV penuh meningkat 14 peratus pada suku kedua 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu membantu pengeluar automotif dari Sweden tersebut mengekalkan momentum elektrifikasi global meskipun jumlah keseluruhan penghantaran kenderaan menurun 5.6 peratus.
Syarikat itu memaklumkan penurunan keseluruhan jualan banyak dipengaruhi kelembapan pasaran di China yang terus memberi tekanan terhadap prestasi globalnya.
Namun begitu, permintaan terhadap model elektrik dan elektrifikasi masih menunjukkan perkembangan positif di beberapa pasaran utama lain.
Di Eropah serta pasaran lain di luar China, Volvo berjaya menghantar sebanyak 104,259 unit kenderaan, meningkat dua peratus berbanding tahun sebelumnya.
Model elektrifikasi pula naik lapan peratus dan kini mewakili 62 peratus daripada jumlah jualan rantau berkenaan.
Pasaran Amerika turut mencatat peningkatan empat peratus dengan jumlah penghantaran mencecah 42,630 unit.
Prestasi itu dilihat sebagai petanda pemulihan beransur-ansur di Amerika Syarikat selepas dua bulan berturut-turut menunjukkan peningkatan.
Bagaimanapun, Volvo mengakui cabaran masih wujud di rantau tersebut termasuk sentimen pengguna yang lemah, persaingan sengit dalam segmen SUV serta permintaan EV dan plug-in hybrid yang berkembang lebih perlahan daripada jangkaan selepas beberapa subsidi kerajaan dihentikan.
Volvo Car dijadual mengumumkan keputusan penuh kewangan suku kedua 2026 pada 17 Julai ini.







