
VOLVO CARS MALAYSIA BUKA PUSAT 2S BAHARU DI KUCHING
Volvo Car Malaysia secara rasminya telah membuka pusat 2S baharu di Kuching, Sarawak sekaligus menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan lagi rangkaian Volvo ini di Malaysia Timur. Dikendalikan oleh Sebangga Group, fasiliti baharu ini memastikan pemilik Volvo di sana terus menerima perkhidmatan selepas jualan yang lancar dan premium tanpa sebarang gangguan.
Buat masa ini, Volvo Car Kuching memfokuskan sepenuhnya kepada penawaran servis selepas jualan dan alat ganti. Walau bagaimanapun, pihak Sebangga Mitsinbo sudah pun merancang untuk menaik taraf fasiliti ini menjadi sebuah pusat jualan kenderaan rasmi. Sementara itu, pelanggan yang berminat untuk membeli model baharu Volvo masih boleh membuat pesanan melalui cawangan Sebangga Mitsinbo sedia ada di Kota Kinabalu.
Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia & Thailand berkongsi: “Hubungan dengan para pelanggan sangat penting bagi kami. Kami komited untuk memastikan rangkaian pusat servis kami sentiasa kukuh dan mudah diakses dan tidak lama lagi, dilengkapi dengan pusat jualan sepenuhnya di seluruh Malaysia. Membawa masuk Sebangga Mitsinbo ke Kuching memastikan pemilik kenderaan kami di Sarawak mendapat penjagaan terbaik tanpa kompromi, lantas menjadikan pusat ini sebagai salah satu tonggak utama dalam rangkaian nasional kami.”
Dato’ Arif Ambrose Ng, Pengerusi Sebangga Group menambah: “Kami amat berbangga dapat memperkukuhkan lagi kerjasama bersama Volvo Car Malaysia dan akhirnya melebarkan sayap Sebangga ke Sarawak. Kehadiran kami di sini membolehkan kami untuk terus menyantuni komuniti pemilik Volvo tempatan. Kami kini memberikan tumpuan penuh untuk menawarkan servis bertaraf tinggi, namun dalam masa yang sama, kami sangat teruja untuk mengubah ruang ini menjadi destinasi jualan yang lengkap pada masa hadapan.”

Pembukaan pusat 2S baharu di Kuching ini juga hadir pada waktu yang cukup mengujakan buat jenama ini, seiring dengan pelancaran berganda Volvo Car Malaysia baru-baru ini yang membabitkan evolusi EX90 dan EX30 Cross Country.
Bagi pasaran Sarawak, EX30 Cross Country sememangnya satu pilihan yang sangat sesuai. Ia menampilkan sistem dwi-motor pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 428 kuasa kuda (hp) dan tork 543 Nm serta kelegaan tanah yang lebih tinggi dalam sebuah pakej kompak bergaya lasak. Ini menjadikannya jentera yang ideal untuk laluan pengembaraan mencabar, sambil mengekalkan teras keselamatan dan prinsip rekaan Scandinavia Volvo.
Volvo Car Kuching kini disepadukan sepenuhnya ke dalam rangkaian Volvo seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian Volvo atau mencari pengedar terdekat anda, sila layari www.volvocars.com/my/find-a-dealer.








