
VOLVO AKTIFKAN APPLE MUSIC MELALUI KEMAS KINI OTA, TAWAR AKSES PERCUMA TIGA BULAN
Volvo Cars mengumumkan integrasi Apple Music ke lebih dua juta kenderaannya menerusi kemas kini perisian over-the-air (OTA), sekali gus membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan penstriman muzik tersebut tanpa perlu bergantung kepada telefon pintar.
Kemaskini ini akan diperkenalkan kepada model Volvo yang serasi bermula tahun model 2020 dan ke atas.
Sebagai promosi, pelanggan yang layak turut ditawarkan akses Apple Music secara percuma sehingga tiga bulan, yang boleh ditebus melalui aplikasi Volvo Cars sebelum 6 Julai 2027.
Bagi model elektrik terbaharu seperti EX60, EX90 dan ES90, Apple Music turut menyokong teknologi Spatial Audio.
Pengalaman audio ini dipertingkatkan menerusi sistem bunyi premium Bowers & Wilkins yang menggunakan teknologi Dolby Atmos, menghasilkan bunyi lebih imersif dan seolah-olah berada di tengah-tengah persembahan muzik secara langsung.
Menurut Volvo, ketiga-tiga model tersebut turut dibangunkan dengan tahap penebatan bunyi yang lebih baik bagi mewujudkan suasana kabin yang lebih senyap dan sesuai untuk pengalaman audio berkualiti tinggi.
Kemaskini OTA ini merangkumi 11 model Volvo iaitu EX90, ES90, XC90, S90, V90, XC60, S60, V60, XC40, EX40 dan EC40.
Pengguna hanya perlu log masuk menggunakan akaun Apple untuk mengakses Apple Music terus melalui skrin sentuh atau kawalan suara kenderaan.
Bagi pelanggan baharu, Apple Music turut membolehkan pemindahan senarai lagu dan koleksi muzik daripada platform penstriman lain.
Ketua Kejuruteraan Perisian Global Volvo Cars, Alwin Bakkenes berkata, integrasi ini memberi peluang kepada pelanggan menikmati muzik dengan kualiti bunyi yang lebih baik terus dari dalam kenderaan.
Menurut beliau, gabungan Apple Music, Spatial Audio dan sistem audio premium Volvo mampu memberikan pengalaman mendengar lebih mendalam serta menampilkan muzik sebagaimana yang dihasilkan oleh artis.
- BACA: BERGAYA, SELAMAT DAN SELESA – HELMET ARC X STAR WARS INI MEMANG PANCING PERHATIAN!
- BACA: SUV ELEKTRIK JAECOO J5 EV DIPERTONTON KEPADA UMUM – JANA 211PS, JARAK GERAK 402KM
- BACA: PETRONAS SYNTIUM BAHARU TAWAR PERLINDUNGAN ENJIN LEBIH BAIK, JIMAT BAHAN API
- BACA: PESAING GHAIRAH PHEV, TOYOTA ANGGAP “PHEV BELUM CUKUP LASAK UNTUK HILUX”






