
KANAK-KANAK LINTAS JALAN MAUT DIREMPUH NISSAN X-TRAIL
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas di Jalan SS 9A/8, Sungai Way, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.27 malam.
Katanya, kejadian yang dipercayai berlaku sekitar pukul 5.30 petang tersebut membabitkan seorang pejalan kaki kanak-kanak warga asing berusia empat tahun dan sebuah kereta jenis Nissan X-Trail.
“Semasa kereta tersebut melalui lokasi kejadian, seorang kanak-kanak lelaki warga asing tiba-tiba melintas jalan raya menyebabkan kereta berkenaan tidak sempat menekan brek merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak tersebut meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semasa menerima rawatan.
Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selesai siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Saksi yang melihat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravndran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya – KOSMO! ONLINE!







